PETALING JAYA: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku ditahan berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di sini.
Bagaimanapun, Nik Nazmi menafikan melakukan perbuatan sumbang yang boleh menimbulkan syak wasangka, meskipun hanya beliau dan seorang wanita berada di situ ketika penguat kuasa tiba di lokasi berkenaan.
Nik Nazmi menjelaskan, sebelum itu beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan meneruskannya di lokasi serbuan bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri, keluarga kami dan semua yang terkesan atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku. Saya akan memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan,” katanya.
Sebelum ini, JAIS mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat dipercayai melibatkan seorang pemimpin politik di sekitar Petaling Jaya pada pukul 6 petang, Khamis lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd.Shahzihan Ahmad berkata, dua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Dalam pada itu, Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama Malaysia (Bersama) selama tiga bulan berkuat kuasa 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.
Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab berkata, parti mengambil maklum kenyataan Nik Nazmi berhubung penglibatannya dalam kes khalwat yang tersebar.
Katanya, Bersama memandang serius perkembangan itu dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepemimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya.
“Ini demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan Nik Nazmi selama tiga bulan berkuat kuasa mulai 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027,” katanya.
Ahmad Syukri menegaskan, Bersama berpendirian bahawa keputusan itu adalah perlu dan munasabah tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi dalam perjuangan Bersama, iaitu sejak parti itu dilancarkan semula pada Mei lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan maaf dibuat oleh Nik Nazmi kepada keluarga dan parti, pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, adalah wajar untuk bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu berbuat demikian.
“Sebab itu memang perlu untuk beliau mengeluarkan kenyataan dahulu manakala proses-proses lain akan ditentukan oleh pihak kepimpinan parti kelak,” katanya. – UTUSAN









