KUALA LUMPUR: Dengan prestasi parti Kancil yang hanya menjana 4.3 peratus undi popular berbanding sasaran 15 peratus semasa PRN Melaka, pimpinannya, Datuk Seri Rafizi Ramli wajib untuk membubarkan parti tersebut.
Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, pembubaran parti Kancil penting selepas mengukur tahap penerimaan pengundi terhadap ideologi dan perjuangan parti Kancil yang sangat lemah selepas 15 daripada 16 calon parti Kancil yang hilang deposit.
“Tutup kedai adalah jalan terbaik buat parti Kancil, bubar sahaja parti tersebut dengan berlandaskan keputusan 2 PRN yang lalu.
“Ia bagi mengelakkan pembaziran wang, tenaga calon dan sukarelawan yang berjuang untuk sesuatu yang ditolak secara majoriti oleh rakyat Melaka dan bakal berdepan nasib yang sama di mana-mana negeri lain selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, bekas ketua DAP Melaka Damian Yeo berkata, ahli Bersama, parti serpihan PKR, digesa kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan perpecahan politik terus melemahkan agenda reformasi.
Ujar Damian Yeo, PH telah melalui perjuangan panjang dan membuat pelbagai pengorbanan yang tidak sepatutnya disia-siakan akibat perpecahan kerana perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan, namun ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan berpanjangan.
Mengulas lanjut, Lum Yong berkata, dengan pembubaran Bersama, para penyokongnya boleh kembali menyertai PH dan menuntut agenda reformasi dilaksanakan daripada dalam.
“Pastinya menuntut agenda reformasi dilaksanakan dari dalam adalah lebih berkesan daripada menjerit-jerit di luar dan dianggap musuh kepada PH, jika mereka benar-benar sayang dan mahu laksanakan agenda reformasi,” jelasnya. – UTUSAN











