LONDON: Sebuah objek batuan angkasa yang terperangkap dalam tarikan graviti Bumi sejak April lalu dijangka kekal mengorbit planet sehingga Januari 2027.
Objek dikenali sebagai 2026 QQ8 itu berdiameter kira-kira 1.8 meter dan dikategorikan ‘bulan mini’ kerana berada dalam orbit Bumi untuk tempoh tertentu.
Walaupun bersaiz kecil dan berpotensi terbakar di atmosfera sekiranya menghampiri Bumi, pakar berpendapat kemungkinan itu sangat rendah.
Ini kerana objek tersebut dijangka berada pada jarak paling hampir kira-kira 568,000 kilometer (km) dari Bumi, iaitu sekitar satu setengah kali jarak Bumi ke bulan.
2026 QQ8 dijangka terlepas daripada tarikan graviti Bumi pada Januari 2027 sebelum meneruskan pergerakannya di angkasa.
Meskipun terlalu kecil untuk dilihat menggunakan teleskop amatur, ahli astronomi di seluruh dunia sedang memantau pergerakan objek itu bagi memahami bagaimana Bumi menarik masuk batuan angkasa kecil sehingga menjadi bulan sementara.
Objek berkenaan pertama kali ditemui penyelidik Hungary, Krisztian Sarneczky, pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, penemuan itu mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan pakar selepas Sarneczky mengemukakan hasil kajiannya kepada Pusat Planet Minor Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).
Badan itu bertanggungjawab merekodkan dan mengesahkan penemuan objek baharu di angkasa, namun pakar masih berbeza pandangan mengenai identiti sebenar 2026 QQ8.- AGENSI











