KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak terkesan dengan masalah kecil yang ditimbulkan beberapa pemimpin yang digugurkan daripada menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, malah beberapa nama pemimpin yang digugurkan daripada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedia membantu jentera bagi memenangkan parti.
“Yang menimbulkan masalah itu hanya (Datuk Seri) Shahidan Kassim, tetapi Annuar Musa (Tan Sri) dan Tajuddin Rahman (Datuk Seri) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur negatif.
“Saya harap mereka setia pada parti, dan saya yakin mereka adalah pemimpin yang berjiwa besar. Terima kasih atas khidmat, jasa dan bakti mereka sebelum ini, sewajarnya mereka perlu membantu jentera kali ini untuk memenangkan calon seperti mana waktu mereka menjadi calon di kawasan mereka.
BILIK GERAKAN
“Kalau tutup bilik gerakan, bukalah balik bilik gerakan, ada bendera diturunkan, naikkanlah semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Shahidan memuat naik status menerusi laman sosial Facebook di mana UMNO Bahagian Arau telah menutup bilik gerakan dan menurunkan bendera BN.
Katanya, itu adalah kali pertama dalam sejarah di kawasan Parlimen tersebut.
Malah, Shahidan semalam turut mengesahkan yang beliau akan meneruskan hasrat bertanding pada PRU kali ini atas tiket parti lain.
Tindakan itu jelasnya selepas kelima-lima nama ‘calon boleh menang’ yang dicadangkan ke Pusat tidak diambil peduli oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut menjelaskan, perubahan secara total ini dibuat adalah bagi meremajakan BN dengan meletakkan muka-muka baharu sebagai pelapis masa depan parti.
“Cuba kita lihat, sewaktu PRU sebelum ini, banyak nama yang digugurkan atas pelbagai sebab. Kita perlu meremajakan parti dan kita perlu melatih pimpinan pelapis masa depan.
“Di mana tempat yang kita boleh buat, kita buatlah. Dan kita perlu muka baru pada PRU kali ini. Itu dari segi positifnya,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid yang turut tidak tercalon semula sedia membantu jentera BN menghadapi PRU15. – UTUSAN










