Teguran Sultan Selangor demi kepentingan rakyat

Teguran Sultan Selangor demi kepentingan rakyat

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato' Seri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang- Orang Besar Istana dan Dato' Diraja Selangor dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 Tahun Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah semalam.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa apabila teguran terhadap isu pentadbiran negeri telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak termasuk ahli politik seolah-olah baginda mahu mencampuri urusan kerajaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, setiap teguran dan pandangan yang disuarakan baginda bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.

Baginda bertitah, teguran  tersebut hanya adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan rakyat dan kepentingan negeri sentiasa diberikan keutamaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau titah menurut bahasa istana disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan ra­ja secara mutlak.

“Beta ingin menegaskan bahawa beta amat arif tentang peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan serta tanggungjawab beta di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang negara ini dan negeri Selangor amalkan.

“Beta juga menghormati per­untukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta Peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa beta sebagai Sultan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda di Balairung Seri Istana Alam Shah semalam. 

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian itu kekal seperti ditegaskan menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu.

Sehubungan itu, Munir berkata Sultan Selangor menegaskan isu berkenaan dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin kemudian menegaskan, baginda tidak mahu rakyat melihat teguran itu sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara istana dengan kerajaan.

“Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa hadapan negeri Selangor,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pelaburan berbilion ringgit, pembangunan pesat atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

Sebaliknya, titah baginda, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila hasil kekayaan negeri turut dinikmati seluruh rakyat, khususnya golongan miskin dan kurang berkemampuan.

“Apa gunanya sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup di dalam kesusahan.

“Rakyat sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan dari aspek tahap pendidikan yang baik, rumah yang mampu dimiliki, peluang pekerjaan yang luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat,” titah baginda.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya terus memelihara keharmonian serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga menyinggung sensitiviti pihak lain.

Tegas baginda, perbezaan pandangan perlu disertai adab, manakala kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan Selangor kekal aman, makmur dan bersatu padu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini