NIBONG TEBAL: Seramai 90,000 pelajar Tingkatan Enam bakal menerima elaun berjumlah RM2,500 seorang mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, elaun itu akan diagihkan mengikut semester dengan setiap pelajar menerima bayaran lebih RM800 bagi setiap semester pengajian.
“Sebaik sahaja pendaftaran anak-anak selesai tahun depan, maka kita akan sampaikan bantuan itu kepada pelajar Tingkatan Enam pada semester pertama mereka.
“Jadi insya-Allah, mereka akan mula mendapat elaun tersebut pada masa itu,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan bahawa elaun sara hidup sebanyak RM2,500 akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula tahun depan.
Katanya, pemberian elaun yang akan memanfaatkan kira-kira 90,000 pelajar itu menyamai kadar elaun yang diberikan kepada pelajar matrikulasi ketika ini.
Fadhlina berkata, pembayaran elaun itu akan bermula pada semester pertama tahun depan selepas urusan pendaftaran pelajar selesai, sekali gus membolehkan bantuan berkenaan disalurkan pada peringkat awal pengajian.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dalam menampung perbelanjaan sepanjang mengikuti pengajian di Tingkatan Enam. – UTUSAN











