Pengecualian duti setem perlu beri manfaat sebenar

Pengecualian duti setem perlu beri manfaat sebenar kepada pembeli

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGECUALIAN duti setem bagi pembelian rumah pertama yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 perlu dipastikan benar-benar mengurangkan kos pemilikan rumah kepada pembeli dan bukan sekadar memberi penjimatan kepada pemaju.

Ini terutama bagi pembelian rumah daripada pemaju yang sebelum ini sudah menawarkan pakej duti setem ditanggung sebagai sebahagian daripada insentif jualan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembeli yang menerima pakej sedemikian tidak semestinya mendapat manfaat tambahan daripada pengecualian kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, apabila pemaju sejak awal menawarkan untuk menanggung duti setem, pembeli sememangnya tidak perlu mengeluarkan kos ber­kenaan.

“Apabila kerajaan memberikan pengecualian, pemaju juga tidak lagi perlu menanggung kos tersebut sedangkan harga rumah dalam perjanjian jual beli (SPA) mungkin kekal pada paras sama.

“Pembeli tidak mendapat manfaat berganda kerana dalam pakej biasa, kos duti setem yang ditanggung pemaju lazimnya sudah diambil kira dalam pe­netapan harga atau margin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, manfaat sebenar hanya sampai kepada pembeli sekiranya nilai duti setem yang dikecualikan diterjemahkan kepada rebat, pengurangan harga rumah atau manfaat lain yang mempunyai nilai setara.

Tanpa mekanisme itu, pengecualian berkenaan berpotensi lebih banyak mengurangkan kos pemaju berbanding kos pembeli rumah pertama.

“Sebagai contoh, bagi rumah berharga RM500,000 dengan anggaran duti setem pindah milik sekitar RM9,000, pemaju yang pada asalnya menawarkan untuk menanggung kos tersebut tidak lagi perlu membayarnya apabila pengecualian kerajaan terpakai.

“Sekiranya harga rumah kekal RM500,000 dan tiada rebat atau manfaat setara diberikan, penjimatan RM9,000 itu dinikmati pemaju dan bukannya pembeli.

“Ini boleh menyebabkan ketirisan manfaat dasar kerana tujuan pengecualian adalah untuk mengurangkan kos pemilikan rumah pertama, tetapi manfaat tersebut boleh beralih kepada pemaju sekiranya struktur pakej promosi tidak diselaraskan,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, kedudukan pembeli bergantung kepada terma dalam SPA, surat tawaran dan pakej promosi yang diberikan pemaju.

Katanya, terdapat perbezaan antara tawaran pemaju untuk menanggung duti setem dengan tawaran membayar balik duti berkenaan selepas ia dibayar pembeli.

“Sekiranya dokumen jelas menyatakan pemaju hanya menanggung duti setem jika ia perlu dibayar, pemaju mungkin tidak perlu memberikan rebat apabila duti tersebut dikecualikan.

“Justeru, pembeli perlu meneliti sama ada harga belian termasuk atau tidak termasuk duti setem serta klausa berkaitan pengecualian atau pelepasan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, garis panduan yang jelas perlu diwujudkan bagi memastikan manfaat pengecualian sampai kepada pembeli rumah pertama.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memperincikan kaedah pengendalian pakej duti setem yang telah ditawarkan pemaju sebelum pengecualian kerajaan berkuat kuasa.

“Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah sama ada nilai pengecualian perlu disa­lurkan semula kepada pembeli dalam bentuk rebat, pengurangan harga atau manfaat lain yang setara.

“Pemaju juga perlu membuat pendedahan jelas mengenai nilai sebenar pakej jualan dan tidak menggunakan tawaran ‘duti setem percuma’ sebagai insentif tambahan sekiranya duti berkenaan sememangnya sudah dikecualikan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut perlu memperjelaskan mekanisme tuntutan termasuk peranan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dalam menangani pertikaian antara pembeli dengan pemaju.

Selain itu, tempoh peralihan perlu ditetapkan khususnya bagi pembeli yang menandatangani SPA sebelum pengumuman Belanjawan 2027 tetapi duti setem masih belum dibayar.

“Pengecualian duti setem sepatutnya mengurangkan kos pembeli, bukan sekadar mengurangkan kos pemaju.

“Tanpa klausa kontrak yang jelas dan garis panduan kerajaan, pembeli yang menerima pakej duti setem ditanggung pemaju berisiko tidak mendapat manfaat tambahan walaupun dasar itu diwujudkan untuk membantu mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini