Pertimbang semula HOC, bantu rakyat miliki rumah - Utusan Malaysia

Pertimbang semula HOC, bantu rakyat miliki rumah

NGA Kor Ming (tiga dari kiri) bersama Chan King Meng (dua dari kiri) dan Zaini Yusoff (dua dari kanan) ketika gimik pada majlis pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Pusat Pameran Mid Valley (MVECKL) semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda Malaysia) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dengan lebih banyak insentif.

Presiden Rehda Malaysia, Datuk Zaini Yusoff, kempen itu terbukti sebagai inisiatif kerjasama awam-swasta berkesan dalam menggalakkan pemilikan rumah, selain membantu merancakkan pasaran hartanah dan ekonomi secara lebih meluas.

“Rumah mampu milik pada akhirnya bukan sahaja perlu mampu dibeli, malah perlu berdaya maju untuk dibina. Kedua-dua aspek ini penting sekiranya kita mahu mewujudkan ekosistem perumahan yang mampan.

“Pada masa ini, pemaju terus berdepan peningkatan kos pembinaan, keperluan infrastruktur dan utiliti, kos berkanun serta pematuhan, selain proses kawal selia yang semakin kompleks.

“Secara berasingan, setiap keperluan mungkin kelihatan mampu ditangani, namun secara keseluruhan, ia memberi kesan langsung terhadap daya maju projek dan akhirnya kemampuan rakyat memiliki rumah,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX).

Beliau berkata, Rehda juga mengalu-alukan Dasar Perumahan Negara 2026–2035 yang baru dilancarkan kerajaan serta aspirasi yang digariskan untuk sektor perumahan dalam tempoh sedekad akan datang.

“Kami berharap pelaksanaannya akan terus disokong melalui kerjasama rapat antara kerajaan dan industri, dengan mengambil kira realiti pasaran, permintaan sebenar terhadap perumahan serta kos dan daya maju dalam menyediakan kediaman.

“Sebagai pemaju, Rehda kekal komited untuk memainkan peranan dalam menyediakan rumah dan komuniti yang mampu dimiliki, selesa didiami, inklusif serta responsif terhadap perubahan keperluan rakyat Malaysia.

“Satu lagi aspek penting dalam kehidupan masa depan ialah kelestarian.

“Di seluruh industri, kita menyaksikan pemaju semakin giat menggabungkan elemen kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, pemuliharaan air, landskap hijau serta penggunaan bahan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam pembangunan mereka,” jelasnya.

Zaini berkata, GreenRE yang bermula sebagai inisiatif bangunan hijau REHDA dan kini berkembang sebagai badan pensijilan bangunan hijau terkemuka negara telah memperakui lebih 500 juta kaki persegi bangunan hijau.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat menggalakkan dan mencerminkan komitmen industri yang semakin kukuh terhadap pembangunan yang lebih mampan.

“Melangkah ke hadapan, Rehda akan terus memperjuangkan pembangunan yang mampan dan rendah karbon, di samping mengetengahkan pendekatan praktikal yang dapat mengimbangi aspirasi alam sekitar dengan aspek kemampuan serta daya maju pembangunan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×