MAPEX 2026 tawar rebat tunai sehingga RM25,000

MAPEX 2026 tawar rebat tunai sehingga RM25,000sasar nilai jualan RM2 bilion

CHAN King Meng ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Pusat Pameran Mid Valley (MVECKL) di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini menawarkan rebat tunai sehingga RM25,000 dan wafer emas kepada pembeli yang layak.

Bertemakan ‘Future Living Starts Here’, acara itu dianjurkan kepada orang ramai oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda Malaysia), Rehda Selangor dan Rehda Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dari 4 hingga 6 September 2026.

Pengerusi Penganjur MAPEX 2026, Datuk Chan Kin Meng berkata, MAPEX turut menyediakan aktiviti Stamp & Win yang menawarkan baucar beli-belah serta pelbagai hadiah menarik.

Katanya, MAPEX bukan sekadar platform untuk pemaju mengetengahkan projek mereka kepada orang ramai, malah menjadi ruang kepada bakal pembeli mencari kediaman yang boleh dimiliki.
“Kami yakin terdapat sesuatu untuk semua orang di acara ini.

“Sekurang-kurangnya, bakal pembeli rumah yang masih belum bersedia membuat komitmen membeli akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai pilihan tersedia serta kediaman paling sesuai dengan keperluan dan bajet mereka,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX).

Sebanyak 22 pemaju mengambil bahagian dalam penganjuran MAPEX kali ini dengan mengetengahkan projek pembangunan di Lembah Klang, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang.

Ekspo itu turut disertai lima agensi kerajaan iaitu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan Tribunal Pengurusan Strata dan Perumahan (TPPS).

Cagamas turut membuka reruai di Dewan 1 MVEC bagi menawarkan khidmat nasihat berkaitan kewangan.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Presiden Rehda Malaysia, Datuk Zaini Yusoff.

Beliau berkata, kerajaan khususnya KPKT merupakan rakan penting kepada persatuan berkenaan, termasuk cawangan dan anak syarikatnya.

“Kehadiran Menteri KPKT, Ng Kor Ming hari ini melambangkan komitmen bersama untuk terus bekerjasama dalam memajukan agenda pemilikan rumah negara serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Sebagai antara pengisian utama MAPEX, sesi Property Talks akan menampilkan 10 penceramah terkenal dalam bidang masing-masing pada Sabtu dan Ahad ini.

Dalam pada itu, pengunjung cilik juga dialu-alukan menyertai ’MAPEX Young Artist Challenge’ yang menampilkan pertandingan mewarna pada Sabtu, 5 September 2026 bagi kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun.

Ia diikuti pertandingan melukis pada Ahad, 6 September 2026 bagi kanak-kanak berusia sembilan hingga 13 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×