PETALING JAYA: Formula 21+7 menjadi taruhan setiap pakatan yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi meraih mandat rakyat di samping menentukan masa depan kuasa politik di negeri itu.
Setakat pengumuman calon ketika ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Baki tujuh kerusi pula dijangka menjadi medan rundingan pembahagian kerusi dengan parti lain bagi mengelakkan pertembungan sesama sekutu, selain memperkukuh peluang gabungan masing-masing untuk membentuk kerajaan negeri.
Pengumuman itu menyaksikan BN dan PH bakal bertembung di 15 kerusi pada PRN Melaka nanti.
Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah memuktamadkan untuk bertanding di tujuh kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mahu mencuba nasib di PRN Melaka masih belum mengumumkan nama kerusi ditandingi.
Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, BN memutuskan hanya untuk bertanding 21 kerusi setelah mengambil kira rekod setiap wakil rakyat sepanjang lima tahun sejak PRN Melaka 2021.
Beliau yang tidak menafikan wujud kerjasama BN dengan parti lain berkata, namun keyakinan mempertahankan 21 kerusi yang ditandingi adalah berdasarkan khidmat cemerlang yang diberikan kepada rakyat selama ini.
“Malah keyakinan itu turut bersandarkan gerak kerja parti yang dilaksanakan di seluruh 28 kawasan DUN, bukan hanya tertumpu kepada kawasan yang bakal ditandingi.
“Tahap keyakinan kita Insya-Allah, kerana kita sudah bekerja bukan setahun dua tahun, tetapi lima tahun. Kita yakin kerana sudah memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Melaka.
“BN yakin akan menang 21 kerusi kerana sepanjang lima tahun ini, kita bekerja bukan hanya untuk musim pilihan raya tetapi sepanjang masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, BN dan PH masing-masing mengumumkan akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala baki tujuh kerusi dijangka menjadi rebutan dalam rundingan pembahagian kerusi antara parti yang membentuk kerjasama politik.
Pengumuman itu menyaksikan formula 21+7 menjadi asas pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan masing-masing, dengan baki tujuh kerusi dijangka diperuntukkan kepada rakan kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRN Melaka.
Bagaimanapun Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat berkata, keputusan PH bertanding di 21 kerusi pada PRN kali ini dibuat bagi membolehkan gabungan itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerusi yang ditandingi.
Beliau menegaskan, PH tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan pihak lain berhubung baki tujuh kerusi berkenaan dan tidak menghalang mana-mana parti daripada bertanding di kawasan itu.
“Kita nak fokus sahaja. Kita boleh memberi lebih tumpuan kepada 21 kerusi itu. Setakat ini, memang kita yakin dengan 21 kerusi yang kita tandingi.
“Rundingan sudah tutup, tidak ada lagi. Kita sudah umumkan apa yang kita nak, jadi apa lagi yang hendak dirundingkan,” katanya.
Mengulas kemungkinan PH membantu calon lain di kerusi yang tidak ditandinginya, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas proses penamaan calon berdasarkan perkembangan semasa.
“Nanti kita akan tengok siapa yang bertandinglah (kerusi PH tidak bertanding). Nanti lepas penamaan calon apa semua tu nanti kita akan, PH akan buat keputusanlah sama ada kita nak membantu ataupun tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN memuktamadkan keputusan untuk bertanding di tujuh kerusi susulan BN meletakkan calon di 21 DUN.
Beliau berkata, kerjasama itu diharap dapat membawa perubahan kepada keputusan PN pada PRN berkenaan.
“Ya (muktamad). Kita menyambut baik pengumuman BN dan yakin kerjasama ini akan memperkukuh gagasan penyatuan ummah serta mampu membuat lonjakan keputusan PRN Melaka nanti,” katanya.-UTUSAN











