14 Nov hari pengundian, 31 Okt penamaan PRN Melaka

14 Nov hari pengundian, 31 Okt penamaan PRN Melaka

Ramlan Harun mengadakan sidang media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 di sebuah hotel di Banda Hilir, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, writ pilihan raya dikeluarkan hari ini selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berhubung pengisytiharan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.

Menurutnya, susulan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan PRU DUN Melaka ke-16 perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga 11.59 malam, 13 November,” katanya dalam sidang media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 di Banda Hilir, di sini hari ini.

Ramlan berkata, seramai 687,697 pemilih akan terlibat dalam PRN kali ini berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Julai 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 675,166 adalah pengundi biasa, 9,769 anggota tentera serta pasangan dan 2,762 anggota polis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN