MENARA C Sunway Velocity 3 di perbandaran matang Cheras mencatatkan lebih 100 unit tempahan dalam talian susulan pelancaran awalnya pada 10 Oktober lalu, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman di perbandaran bersepadu itu.
Projek kediaman bertingkat oleh Sunway Property itu dibangunkan sebagai menara terakhir bagi projek Sunway Velocity 3, selepas Menara A dan B mencatatkan kadar pembelian sebanyak 98 peratus.
Pembangunan pegangan bebas tersebut menawarkan unit kediaman yang lebih luas berkeluasan antara 775 hingga 1,324 kaki persegi dan dijadualkan menyokong gaya hidup moden pada harga jualan yang mampu dimiliki oleh pembeli rumah dan pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata, Sunway Velocity dikenali sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang matang dan berkembang pesat.
Katanya, ini menjadikannya lokasi ideal bagi pembeli rumah yang ingin menaik taraf kediaman dalam persekitaran yang dikenali serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik.
“Menara C memenuhi keperluan pemilik rumah, keluarga serta pelabur, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang merentas generasi, selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadikan pembangunan hartanah sebagai pemangkin nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan alam sekitar.
“Pembangunan ini direka dengan teliti berlandaskan kerangka Sunway Design & Development Architecture (SDDA), menyediakan ketersambungan terus ke perbandaran bersepadu Sunway Velocity, selain mengambil kira aspek kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua unit juga direka dengan tumpuan khas kepada keselesaan ruang keluarga dan pembeli kediaman sendiri.
Tambahnya, kediaman di Sunway Velocity sentiasa direka untuk menawarkan ruang kehidupan yang berkualiti dalam suasana perbandaran yang lengkap.
“Di Menara C, kami melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan pilihan susun atur empat bilik tidur yang jarang ditawarkan di pasaran, unit dwi-kunci eksklusif serta kawasan permainan luar khusus untuk haiwan peliharaan.
“Ciri-ciri ini membawa elemen praktikal ke dalam rumah dan mewujudkan hubungan visual yang harmoni dengan gaya hidup bandar kontemporari,” ujarnya.
Sunway Property berkata, pelancaran Menara C menawarkan pelbagai susun atur fleksibel yang menyediakan lebih ruang untuk keluarga merentas generasi serta mereka yang bekerja dari rumah.
“Antara ciri utama termasuk akses laluan berbumbung ke kemudahan pengangkutan awam, unit dwi-kunci bagi tujuan kediaman sendiri atau pelaburan, serta ruang dalaman yang direka untuk fungsi harian yang optimum.
“Kemudahan perbandaran disokong oleh ekosistem seluas 0.8 hektar Central Park, Sunway Velocity Mall, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kolej Sunway @ Velocity dan Sunway Velocity Hotel,” jelasnya.
Menurutnya, satu daripada ciri kelebihan utama Menara C ialah kemudahan akses melalui pelancaran secara digital yang memberi fleksibiliti kepada pembeli untuk meneroka pembangunan di galeri jualan sebelum membuat tempahan secara dalam talian.
Jelasnya, langkah ini menyokong peralihan ke arah pengalaman pembelian kediaman yang lebih mudah dan berteraskan teknologi digital.
“Bagi menyokong ketersambungan bandar, Menara C terletak secara strategik kira-kira 500 meter dari stesen pertukaran Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri serta 940 meter dari stesen MRT Cochrane.
“Selain itu, projek ini hanya satu stesen sahaja dari hab kewangan Tun Razak Exchange (TRX), sekali gus memudahkan pergerakan harian penduduk,” katanya.
Menara C turut menikmati akses yang strategik menerusi beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya SMART, New Pantai Expressway (NPE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban dan Besraya.
“Pembangunan ini juga berhampiran pelbagai kemudahan sedia ada seperti IKEA Cheras, MyTOWN Shopping Centre, Berjaya Times Square, Pavilion Kuala Lumpur dan KLCC, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pembeli,” katanya. – UTUSAN











