Mahkamah Tinggi Kota Bharu benarkan permohonan batal dua petisyen Parlimen Gua Musang

Mahkamah Tinggi Kota Bharu benarkan permohonan batal dua petisyen Parlimen Gua Musang

SEBAHAGIAN peguam yang mewakili responden termasuk Datuk Seri Takiyuddin  Hassan (tiga dari kanan) yang ditemui pemberita selepas selesai prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Pilihan Raya di sini membenarkan pempetisyen, Mohd. Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membatalkan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mewakili responden pertama iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim.

Mahkamah turut mendengar hujahan Peguam Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab. Fatah Hasbullah sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Mohd. Azmi berkata, pihaknya tidak mahu meneruskan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga dengan menawarkan kos sebanyak RM5,000. 

Ahmad Hanir bagaimanapun memohon kos untuk membatalkan petisyen itu sebanyak RM10,000 yang dirasakan munasabah.

Ahmad Hanir dalam hujahannya berkata, menerusi petisyen itu, pempetisyen mendakwa berlaku pelanggaran yang dikatakan satu tempat tidak wujud sebagai saluran mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chiku.

Selepas mendengar semua hujahan, Roslan membenarkan permohonan untuk menarik balik petisyen bagi responden kedua dan ketiga yang dinyatakan jelas bahawa kedua-duanya tidak membabitkan responden pertama.

“Sehubungan itu, petisyen pilihan raya bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan dengan berkongsi kos sebanyak RM6,000,” katanya.

Mahkamah juga menetapkan 26 Februari depan untuk keputusan awal bantahan petisyen berkenaan.

Takiyuddin ketika ditemui pemberita berkata, beliau yang mewakili responden pertama yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi mengakui terkejut apabila pempetisyen menarik balik petisyen terhadap responden kedua dan ketiga.

“Penarikan itu berlaku selepas pihak SPR dalam bantahan awal membangkitkan perkara yang didakwa kononnya satu pelanggaran dibuat ketua tempat mengundi. Tetapi, tempat itu sebenarnya tidak wujud dalam senarai tempat pengundian.

“Ia merupakan perkara yang jarang berlaku dan kami agak terkejut dengan keputusan pihak pempetisyen. Jadi, kita tunggu keputusan mahkamah nanti,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Azmi  yang mewakili kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh atau Ku Li memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen berkenaan pada 3 Januari lalu.

Dalam petisyen itu, Mohd. Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md. Abdullah, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Mohd. Azizi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab. Fatah dan SPR.

Menurut Mohamed Baharudeen, petisyen berkenaan meminta supaya keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.