PETALING JAYA: Pejabat Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung dua kertas siasatan kes fitnah membabitkan isu pemilikan saham Velocity oleh Blomberg.com serta dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kedua-dua kertas siasatan berkenaan diterima pada Khamis lalu dan kini masih dalam penelitian pihak AGC.
“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat. Selepas penelitian selesai, apa jua keputusan yang wajar akan diambil sama ada tindakan lanjut perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau siasatan tambahan perlu dijalankan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Beliau berkata, keputusan berhubung kedua-dua kes itu akan dibuat selepas pihaknya meneliti keseluruhan kandungan kertas siasatan yang dikemukakan.
Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, dua kertas siasatan itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Khamis lalu.
Kertas siasatan itu sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan, keterangan Azam Baki telah diambil membabitkan kedua-dua kes yang disiasat
Rakaman percakapan itu diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Untuk rekod, pada 14 Februari lalu, PDRM membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Selain itu, siasatan lain juga turut dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat Albert pada 13 Mei lalu berhubung dakwaan mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024. – UTUSAN










