Rasuah: Kes Hydroshoppe, pengarah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Rasuah: Kes Hydroshoppe, pengarah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur membabitkan syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan pengarahnya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Hydroshoppe dan pengarahnya, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi bermerit.

“Pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk menyatakan sama ada pertuduhan adalah bertindih dan terdapat potensi ‘double jeopardy’.

“Bagaimanapun saya dapati kemungkinan timbul kesukaran luar biasa berkait isu undang-undang yang perlu didengar oleh Mahkamah Tinggi. Oleh itu permohonan adalah dibenarkan,” kata hakim itu.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffa Sirhu Samsudin manakala Hydroshoppe dan Abdul Hamid selaku pemohon-pemohon diwakili peguam-peguam bela, Joshua Tay dan Tang Jian Yearn.

Rentetan dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin yang sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu telah melapangkan tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Kes rasuah itu sepatutnya mula dibicarakan pada 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, 5 hingga 7 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober serta 1 hingga 4 Disember 2026.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Annuar Musa menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Tan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN