Mas Ermieyati sedia hadapi petisyen di Mahkamah Persekutuan

Mas Ermieyati sedia hadapi petisyen di Mahkamah Persekutuan

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini menolak petisyen pilihan raya untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah sudah dijangka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, usaha BN itu langsung tidak melunturkan semangat sebaliknya beliau bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Seperti mana yang dijangkakan, mereka (pempetisyen) akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari. Itu (tindakan) memang saya dan peguam telah menjangkakan akan dilakukan.

“Walau apa sekalipun, kita bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya ketika dihubungi.

Pada Selasa lalu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid pada 3 Januari 2023 dengan kos sebanyak RM20,000.

Mahkamah mendapati, terdapat merit dan menerima dua hujahan bantahan awal iaitu petisyen difailkan melebihi tempoh dibenarkan dan pihak pempetisyen gagal menjelaskan lebih lanjut fakta-fakta dikemukakan dalam petisyen berkenaan.

Mas Ermieyati berkata, beliau tetap bersemangat untuk berkhidmat kepada pengundi di Masjid Tanah, walaupun ada pihak cuba mempertikai kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, tindakan sedemikian tidak mengganggu fokus dalam membuat persiapan menjelang pembukaan Dewan Rakyat pada minggu depan.

“Alhamdulillah dan saya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Terima kasih juga kepada barisan peguam yang sangat berdedikasi dan berwibawa kerana berjaya mengetepikan petisyen berkenaan di peringkat awal.

“Perkara ini tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus istiqamah berkhidmat dan bekerja untuk warga Masjid Tanah. Persiapan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada minggu depan juga tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN