PETALING JAYA: Kecemerlangan Utusan Malaysia dalam bidang kewartawanan Bahasa Melayu mendapat pengiktirafan selepas dinobatkan sebagai Media Berita Bahasa Melayu Terbaik (Malaysia) pada majlis The Knights Award Season 5: A World of Influence, semalam.
Anugerah tersebut disampaikan pada majlis yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas, sekali gus mengukuhkan kedudukan Utusan Malaysia sebagai antara organisasi media berpengaruh di negara ini.
Anugerah berkenaan diterima oleh Pemangku Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar yang hadir mewakili organisasi media tersebut.
Kejayaan itu turut menjadi pengiktirafan terhadap peranan Utusan Malaysia dalam memartabatkan kewartawanan bahasa Melayu serta mengekalkan legasinya sebagai antara institusi media tertua di negara ini.
Sementara itu, Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, penganjuran anugerah berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian individu dan organisasi, malah bertujuan mengangkat Malaysia sebagai pusat pertemuan tokoh cemerlang dari seluruh dunia.
Menurut beliau, sepanjang lima musim penganjurannya, lebih 180 individu telah menerima pengiktirafan menerusi platform tersebut yang turut membabitkan penyertaan dari lebih 65 negara.
“Inisiatif yang bermula di Malaysia itu kini berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghubungkan tokoh perniagaan, pemimpin korporat, penggiat industri kreatif dan individu yang membawa perubahan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Selain Utusan Malaysia, antara personaliti tempatan yang turut mendapat perhatian pada majlis berkenaan ialah pelakon Zul Ariffin, penyanyi Firdhaus dan pemimpin korporat serta aktivis sosial, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid. – UTUSAN











