PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membuktikan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap gabungan politik itu mempunyai asas.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pembatalan itu membuktikan aduan pihaknya berhubung pelanggaran perlembagaan dan tadbir urus gabungan tersebut adalah benar.
Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa keputusan RoS itu memberikan kemenangan moral kepada Bersatu.
“Tidak timbul soal siapa menang atau kalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
RoS memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, PN mula menjadi lemah dan rosak apabila Pas mencampuri urusan Bersatu serta mengadakan rundingan di belakang tabir.
“Sejak Pas bertindak campur tangan dalam urusan dalam Bersatu dan mengkhianati PN dengan membuat rundingan di belakang-belakang dengan membelakangkan PN.
“Pas memang sudah memulakan langkah untuk melemahkan dan merosakkan PN,” katanya.
Tambahnya, perkembangan itu turut membuktikan wajah sebenar pemimpin Pas.
“Tak sampai setahun jadi Pengerusi dan mentadbir PN, Pas rakus dan telah bertindak melangkaui batas kuasa serta mentadbir mengikut kehendak mereka sendiri sehingga menafikan hak pihak lain dan PN.
“Negara ini ada undang-undang dan Pas selaku Pengerusi dan pentadbir PN telah bertindak melanggar undang-undang. Kesannya terhadap PN,” katanya.











