KUALA LUMPUR: Dua jurugambar Utusan Malaysia mengungguli kategori Anugerah Foto Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2025 (HKM2025), kelmarin.
Muhammad Fariz Rusadio merangkul anugerah emas sementara Muhammad Syakir Radin Ab. Halim meraih perak.
Muhammad Fariz meraih kemenangan itu menerusi foto pelumba pasukan Aprilia Racing, Jorge Martin yang tercampak semasa sesi ujian pramusim 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
Beliau membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.
Sementara Muhammad Syakir menang menerusi gambar penghormatan negara untuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
HKM2026 dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) menghimpunkan pengamal media terbaik negara bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai bidang kewartawanan.
HKM MPI-PETRONAS 2025 mengiktiraf karya terbaik menerusi 21 kategori membabitkan media cetak dan elektonik.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Turut hadir, Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia Sdn. Bhd., Abd. Wahid Idris; Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Aznan Bakar; Penolong Pengarang Kosmo! dan Kosmo Ahad, Wan Hasnan Wan Hassan dan Ketua Foto, Aswad Yahya. – UTUSAN










