KUALA NERUS: Kekangan kewangan keluarga tidak mematahkan semangat dua graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengejar cita-cita apabila pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi antara sumber penting yang membantu mereka menamatkan pengajian di menara gading.
Bagi Muhammad Afham Saipulismi, 23, dan Nur Hanis Afiqah Adnan, 23, bantuan pendidikan itu bukan sekadar pinjaman untuk membayar yuran sebaliknya menjadi penyambung harapan ketika keluarga masing-masing berdepan kekangan kewangan.
Berkat peluang yang diberikan, kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dan dipilih menerima Anugerah Khas Industri PTPTN sempena Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24 Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.
Muhammad Afham, graduan sulung program Sarjana Muda Sains (Analitik Data) dengan Kepujian UMT berkata, pinjaman PTPTN banyak membantunya menampung kos pengajian sepanjang tiga tahun setengah di universiti berkenaan.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, bantuan tersebut sangat bermakna kerana keluarganya bukan daripada golongan berada manakala kakaknya turut melanjutkan pengajian ketika dia mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Menurutnya, wang pendahuluan yang disediakan PTPTN pada peringkat awal kemasukan ke universiti turut membantunya membuat persediaan sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
“PTPTN banyak membantu saya, bermula dengan wang pendahuluan untuk persediaan masuk universiti selain menampung yuran pengajian dan perbelanjaan harian.
“Walaupun jumlah pinjaman yang diterima perlu diuruskan dengan baik, perkara paling penting adalah yuran pengajian dapat dibayar manakala lebihan wang digunakan untuk menampung keperluan harian,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini.
Sementara itu, bagi Nur Hanis Afiqah, pinjaman PTPTN menjadi antara bantuan penting yang membolehkannya meneruskan pengajian dari peringkat diploma sehingga berjaya menggenggam ijazah sarjana muda.
Graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dengan Kepujian UMT itu berkata, bantuan berkenaan sangat bermakna bagi keluarganya yang bergantung kepada pendapatan ibunya sebagai peniaga kecil dan bapa tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Ibunya, Asmawati Jantan, 46, menjalankan perniagaan kecil-kecilan manakala bapa tirinya, Mohd Laksi Ismail, 58, bekerja sebagai pemandu lori bagi menyara keluarga.
Menurutnya, pinjaman yang diterimanya membantu meringankan beban keluarga, terutama dalam memastikan kos pendidikan dan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian dapat ditampung.
“Sebagai pelajar, saya melihat PTPTN sangat membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana bukan semua ibu bapa berkemampuan untuk menanggung keseluruhan kos anak yang melanjutkan pengajian ke universiti.
“Saya amat berterima kasih kepada PTPTN kerana memberi peluang kepada saya mendapatkan pinjaman sejak peringkat diploma sehingga berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah,” katanya.
Nur Hanis berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan dipilih menerima Anugerah Khas Industri PTPTN dan menganggap pengiktirafan itu sebagai penghargaan bermakna atas pencapaian akademiknya.
Dia yang baru memulakan kerjaya sebagai penolong pengurus cawangan di sebuah pasar raya berharap pengalamannya dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain supaya tidak berputus asa mengejar cita-cita walaupun berdepan kekangan kewangan.
Katanya, kemudahan permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian turut memudahkan pelajar mendapatkan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian.-UTUSAN











