Nagelsmann nyala impian besar Jerman

Nagelsmann nyala impian besar Jerman

Pengendali Jerman, Joachim Loew (kanan) meraikan kejayaan memenangi Piala Dunia 2014 bersama pasukannya selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Jerman kembali melaungkan impian untuk merampas semula trofi Piala Dunia 2026 selepas lebih sedekad dihimpit kegagalan memalukan di pentas terbesar bola sepak dunia.

Pengendalinya, Julian Nagelsmann tanpa berselindung menegaskan skuad Jerman kali ini datang ke Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico dengan satu sasaran iaitu muncul juara dunia buat kali kelima.

Selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan di Rusia 2018 dan Qatar 2022, Jerman kini berdepan tekanan besar untuk mengembalikan semula maruah pasukan yang kali terakhir menjulang trofi dunia pada 2014.

Nagelsmann bagaimanapun percaya skuad mudanya kini jauh lebih matang dan bersedia untuk menyaingi kuasa besar seperti Sepanyol, Perancis dan England.

Berbeza dengan era terdahulu yang dipenuhi bintang besar, pengendali berusia 38 tahun itu lebih menumpukan kepada pembentukan sebuah pasukan yang memiliki keserasian dan semangat kekeluargaan tinggi.

“Kami mahu jadi seperti sebuah keluarga kerana setiap pemain perlu faham peranan masing-masing dan sanggup berkorban demi pasukan.

“Setiap pemain juga perlu mempunyai keinginan untuk memberikan segala-galanya buat rakan sepasukan mereka,” katanya.

Nagelsmann turut mengakui kekalahan dramatik kepada Sepanyol pada suku akhir Euro 2024 sebenarnya menjadi titik kebangkitan baharu buat Jerman selepas berjaya memberi tentangan paling sengit kepada juara Eropah itu.

Lebih menarik, skuad kali ini turut diperkuat kepulangan legenda penjaga gol, Manuel Neuer selain pengalaman Antonio Rudiger dan Leon Goretzka.

Dalam masa sama, generasi muda diketuai Jamal Musiala, Florian Wirtz dan Kai Havertz dijangka menjadi sandaran utama Jerman untuk kembali menggerunkan dunia.

“Kami mahu memenangi Piala Dunia dan kami benar-benar bersedia untuk cabaran itu kerana pasukan ini sedang lapar untuk membuktikan sesuatu,” ujar Nagelsmann. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN