KAHERAH: Tersembunyi di bawah sebuah perkampungan sunyi di Mesir selama 3,000 tahun, dua patung gergasi yang menggambarkan antara firaun paling terkenal dalam sejarah berjaya ditemukan.
Penemuan luar biasa itu dibuat di Behbeit el-Hagar, sebuah kampung di Delta Nil, Mesir, kira-kira 100 kilometer ke utara Kaherah, selepas seorang petani terlihat bongkah batu misteri di ladangnya, baru-baru ini.
Mengesyaki bongkah itu mungkin tinggalan purba, beliau memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang segera menghantar ahli arkeologi untuk memeriksa lokasi berkenaan.
Kerja-kerja ekskavasi menemukan sisa-sisa dua patung diraja bersaiz gergasi, dengan salah satunya disahkan menggambarkan Firaun Ramses II.
Patung kedua juga dipercayai menggambarkan firaun legenda itu, yang merupakan antara pemerintah teragung Mesir purba.
“Misi arkeologi Mesir berjaya menemukan dua patung diraja bersaiz gergasi dalam operasi ekskavasi penyelamatan yang dijalankan di kampung Behebat al-Hijara, wilayah Gharbia.
“Salah satu patung itu menggambarkan Ramses II, manakala satu lagi juga dipercayai milik firaun berkenaan,” menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Antara penemuan paling mengagumkan ialah kepala patung gergasi Ramses II yang berukuran kira-kira 1.6 meter tinggi yang diukir memakai mahkota berganda yang melambangkan penyatuan Mesir Hulu dan Mesir Hilir.
Pakar menganggarkan monumen itu mungkin setinggi kira-kira 8.5 meter, termasuk tapaknya, ketika masih lengkap.
Patung kedua lebih besar, dengan panjang kira-kira 2.4 meter tetapi bahagian kaki dan bawah patung itu sudah tiada.
Ahli arkeologi percaya penemuan itu mampu memberikan petunjuk baharu yang bernilai mengenai kompleks kuil purba yang pernah berdiri di kawasan berkenaan dan peranannya semasa pemerintahan Ramses II. – AGENSI











