SEREMBAN: Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang ditemukan maut di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai di sini semalam mempunyai kesan cedera akibat tikaman.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, susulan kejadian itu sebilah pisau serta beberapa barang kes lain turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan suami mangsa telah ditangkap bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam selepas suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor dan memaklumkan mengenai kematian isterinya.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai yang menjalankan pemeriksaan di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, mangsa sebelum ini merupakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertukar skim perkhidmatan ke AKPS berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Seremban hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – UTUSAN










