Dua beradik maut dalam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Dua beradik maut dalam kebakaran rumah

KEADAAN rumah yang terbakar yang menyebabkan dua beradik meninggal dunia di Kampung Koh, Sitiawan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua beradik ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah berkembar dua tingkat di Kampung Koh di Sitiawan, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 9 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Seri Manjung dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus struktur kedua-dua rumah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebakaran melibatkan dua rumah berkembar dua tingkat jenis kelas C berkeluasan keseluruhan 40 x 70 kaki.

“Ketika kejadian, terdapat dua mangsa iaitu remaja perempuan berusia 18 dan 15 tahun terperangkap di dalam rumah dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebakaran itu turut melibatkan empat kenderaan iaitu dua kereta Proton Saga, sebuah Proton Perdana dan sebuah motosikal.

Katanya, operasi berjaya dikawal pada pukul 10.30 pagi manakala kerja-kerja pemeriksaan lanjut dan pemadaman sisa kebakaran sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Pasukan Khas Unit Anjing Pengesan (K9) turut dihubungi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Operasi pemadaman yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis itu melibatkan kekuatan keseluruhan 20 anggota,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini