Kemahiran 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi tidak dimanfaatkan

Kemahiran 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi tidak dimanfaatkan

PEKERJA perlu berkembang untuk kekal relevan, manakala organisasi perlu menyediakan ruang agar perkembangan tersebut berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi di negara ini mengalami guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sekali gus menunjukkan terdapat keperluan memadankan kelayakan akademik dengan pekerjaan yang bersesuaian.

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian dalam Belanjawan 2027 selain dana RM3 bilion oleh HRD Corp untuk menyokong tiga juta peluang latihan, merupakan pelaburan besar dalam pembangunan tenaga kerja negara.

Bagaimanapun katanya, cabaran seterusnya adalah memastikan peluang latihan itu berkait rapat dengan permintaan pasaran buruh serta membawa kepada pekerjaan yang bersesuaian dan perkembangan kerjaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026 namun pertumbuhan guna tenaga tidak menggambarkan sejauh mana kemahiran pekerja digunakan secara berkesan.

“Tinjauan Pasaran Buruh DOSM bagi suku kedua 2026 mendapati kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan pekerja berpendidikan tertiari adalah 35.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, data platform Jobstreet by SEEK menunjukkan jumlah iklan pekerjaan berbayar di platform berkenaan secara keseluruhannya tidak banyak berubah pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Nicholas berkata, keperluan kemahiran turut berubah seiring perkembangan kecerdasan buatan (AI), dengan iklan pekerjaan berkaitan teknologi itu merangkumi 2.9 peratus daripada keseluruhan iklan pekerjaan di Malaysia pada Ogos 2026, meningkat daripada 0.9 peratus pada Januari 2024.

Dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), iklan pekerjaan berkaitan AI meningkat kepada 14 peratus berbanding lima peratus pada 2024.

Peningkatan turut dilihat dalam industri pengiklanan, seni dan media serta pemasaran dan komunikasi.

Sehubungan itu, katanya, pencari kerja boleh mengenal pasti keperluan jawatan yang ingin diceburi menilai jurang kemahiran dan memilih program latihan yang bersesuaian, selain mengenal pasti pengalaman serta kemahiran sedia ada yang boleh digunakan dalam jawatan atau industri lain.

“Majikan turut memainkan peranan dalam memastikan latihan membawa kepada hasil pekerjaan yang lebih baik.

“Antaranya termasuk melabur dalam pembangunan tenaga kerja sedia ada, menyelaraskan latihan dengan keperluan tempat kerja dan memberi peluang kepada pekerja untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari,” katanya.

Nicholas berkata, usaha itu turut menunjukkan kepentingan amalan pengambilan pekerja yang mengiktiraf pengalaman relevan dan kemahiran boleh pindah.

Calon tidak seharusnya diketepikan hanya kerana tidak memiliki kelayakan khusus atau datang daripada industri berbeza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini