BERLIN: Jerman meluluskan eksport peralatan ketenteraan ke Israel bernilai hampir €800 juta (RM3.7 bilion) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Penjualan itu berlaku ketika Israel meneruskan tindakannya di Semenanjung Gaza yang didakwa sebagai pembunuhan beramai-ramai, lapor media tempatan pada Rabu.
Kementerian Ekonomi dan Tenaga mendedahkan angka itu dalam jawapannya kepada pertanyaan parlimen yang dikemukakan Parti Kiri yang menjadi pembangkang, menurut majalah berita Jerman Der Spiegel.
Lesen eksport yang dikeluarkan antara Januari dan Jun melebihi empat kali ganda jumlah nilai yang diluluskan untuk Israel sepanjang 2025, menurut laporan itu.
Peningkatan mendadak itu berlaku selepas kerajaan Canselor Friedrich Merz menarik balik sekatan sebahagian terhadap eksport senjata ke Israel pada 24 November 2025.
Merz menggantung eksport senjata yang boleh digunakan di Gaza pada 8 Ogos selepas Israel memutuskan untuk memperluaskan operasi ketenteraannya di wilayah berkenaan.
Sekatan itu hanya kekal selama kira-kira tiga setengah bulan.
Projek pertahanan berskala besar menyumbang sebahagian besar kepada peningkatan mendadak kelulusan tersebut.
Daripada €735.8 juta (RM3.45 bilion) lesen eksport yang diluluskan pada suku kedua, kira-kira 67 peratus berkaitan dengan satu projek tentera laut.
Laporan itu mengetengahkan INS Drakon, sebuah kapal selam berkuasa pendorongan bebas udara yang dibina oleh pembuat kapal Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems (TKMS), yang baru-baru ini meninggalkan limbungan kapal di Kiel untuk menuju ke Israel.
Sebanyak 21 peratus lagi lesen berkenaan meliputi projek bersama yang melibatkan syarikat Jerman dan Israel, yang dianggap memenuhi kepentingan strategik angkatan tentera Jerman, atau Bundeswehr.
Kelulusan selebihnya meliputi peralatan ketenteraan termasuk senjata kecil, peluru, bahan letupan dan kenderaan udara tanpa pemandu.
Menurut Kementerian Kesihatan wilayah Palestin itu, tindakan Israel di Gaza yang didakwa sebagai pembunuhan beramai-ramai telah menyebabkan sekurang-kurangnya 73,470 rakyat Palestin terbunuh dan 174,540 lagi cedera sejak Oktober 2023.
Kebanyakan mangsa ialah wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza telah musnah.
Lea Reisner, jurucakap Parti Kiri bagi hal ehwal antarabangsa, menuduh kerajaan Jerman mengamalkan standard berganda tanpa batasan.
Beliau mengkritik Berlin kerana mengecam kenyataan Menteri Keselamatan Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, yang menyasarkan penduduk awam Gaza, tetapi pada masa sama terus meningkatkan sokongan ketenteraan kepada negara haram itu.
Parti Kiri sekali lagi menggesa supaya eksport senjata Jerman ke Israel dihentikan serta-merta dan secara menyeluruh.
Jerman meluluskan eksport senjata dan peralatan ketenteraan ke Israel bernilai €327 juta (RM1.5 bilion) pada 2023; €161.1 juta (RM756 juta) pada 2024 dan €260 juta (RM1.2 bilion) pada 2025.
Jualan senjata Jerman kepada Israel meningkat 10 kali ganda pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Berlin sejak sekian lama menjadi antara penyokong terkuat Israel, dengan pemimpin Jerman sering mempertahankan sokongan itu sebagai tanggungjawab sejarah yang berpunca daripada sejarah Nazi Jerman dan Holocaust. – AGENSI










