PETALING JAYA: Jenama sukan antarabangsa, Brooks Running membuka peluang kepada atlet negara daripada pelbagai disiplin untuk menjalin kerjasama sebagai duta dalam usaha memperkukuh jenama itu di Malaysia.
Ketika ini, seramai 11 atlet tempatan telah dikenal pasti dan berada dalam senarai awal untuk dinilai, sekali gus memberi harapan baharu kepada mereka mendapatkan tajaan serta sokongan berterusan.
Pengarah Paragon Vest, Victor Tiew menjelaskan, pihaknya sedang meneliti bentuk kerjasama paling sesuai sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurut beliau, beberapa aspek penting termasuk tempoh sokongan, jenis bantuan serta kesesuaian produk akan diperhalusi bagi memastikan manfaat optimum kepada atlet terlibat.
“Memang menjadi hasrat kami untuk bekerjasama dengan atlet tempatan, namun segala perincian perlu diteliti terlebih dahulu agar ia memberi impak terbaik kepada kedua-dua pihak.
“Kami juga sedang merangka pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan tidak lagi terhad kepada sukan larian semata-mata,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan baharu di sini semalam.
Tambahnya, perubahan hala tuju itu menyaksikan Brooks kini memberi tumpuan kepada keperluan atlet merentas pelbagai sukan, selaras dengan kepentingan elemen kecergasan seperti larian dalam rutin latihan.
Jelasnya, walaupun larian menjadi asas kepada kebanyakan sukan, ia juga antara faktor utama yang boleh menyumbang kepada kecederaan jika tidak diurus dengan baik dan justeru pihaknya mahu tampil dengan solusi yang mampu mengurangkan risiko tersebut.
Majlis berkenaan turut diserikan kehadiran atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin yang mencuri perhatian pengunjung.
Turut memeriahkan acara ialah barisan atlet berbasikal trek terdiri daripada Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Nur Aisyah Mohamad Zubir serta Anis Amira Rosidi.
Selain itu, kehadiran atlet Muay Thai, Amisha Azril, pelumba muda Qabil Irfan Azlan serta pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin turut menambah kemeriahan majlis berkenaan. – UTUSAN










