Safron

Safron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGI itu bau tanah basah masuk ikut celah tingkap. Safron sudah bangun sejak pukul 5 pagi dan duduk di bucu katil jati peninggalan nenek dan dipangkuannya ada tin biskut lama. Di dalamnya bukan biskut tetapi di dalamnya ada seluruh hidupnya. Rumah ini akan dijual minggu depan. Notis lelong warna merah dari bank sudah tiga bulan melekat di pintu pagar. Kertas itu sudah lunyai kena hujan dan panas.

Safron tidak menangis lagi. Air matanya sudah habis dua tahun lepas di malam ayahnya meninggal dunia di hospital. Selepas setahun, abang pula tidak pulang dari laut. Safron berumur 32 tahun.

Satu kampung panggil dia Puan Safron. Bukan sebab dia sudah berkahwin tetapi pernah menjadi cikgu sekolah rendah selama enam tahun. Dia berhenti mengejut selepas ayah mengalami sakit jantung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nama Safron diberi oleh nenek. Safron ini warna mahal. Warna benang raja-raja. Warna harapan orang sabar, kata nenek. Safron buka tin itu perlahan-lahan. Barang pertama dikeluarkan adalah gambar keluarga diambil 10 tahun lalu di depan rumah. Ayah berdiri tegak, masih kuat dan pegang cangkul. Mak senyum sampai nampak gigi dan pakai tudung putih. Abang Ali pula peluk bahu Safron dari belakang.

Ketika itu Safron berusia 22 tahun dan baru tamat diploma perguruan. Di belakang gambar ada tulisan pensil ayah yang senget: Rumah kita. Jangan jual. Di bawahnya ada surat-surat bank.

Kertasnya nipis tetapi ayat keras: Tunggakan RM47, 200. Lelongan awam. Di bawah surat ada banyak resit yang tersusun. Resit hospital ayah, resit ubat farmasi dan resit minyak bot abang Ali.
Paling bawah ada sampul coklat tidak bersetem dan tiada alamat. Hanya satu nama ditulis dengan pen dakwat biru yang sudah pudar: Untuk Ron. Itu tulisan abang Ali dan panggil dia Ron sejak kecil. Sampul itu sudah tiga tahun tidak dibuka.

Pukul 5 pagi Safron sudah berdiri di dapur membuat air teh yang tiada gula. Rasa pahit itu sekarang rasa biasa kerana hidup dia sejak dua tahun ini memang pahit.

Lepas solat subuh dia ke belakang rumah ke kebun limau nipis ayah. Dulu ada 20 batang pokok tetapi sekarang tinggal tujuh pokok yang tinggal pun daunnya kuning-kuning. Dia petik buah limau dan masukkan dalam bakul plastik merah untuk dibawa ke pasar minggu. Kalau habis jual dapatlah RM50 dan cukup untuk bayar bil elektrik bulan ini yang tertunggak.

Petang itu Safron ke pasar dengan beg plastik berisi limau di tangan kiri dan tangan kanan memegang payung buruk yang hampir patah batangnya. Di pasar dia bentang tikar plastik menyusun buah limau. Orang lalu lalang dan ada yang tanya harga, ada yang menawar dan ada yang pegang dan letak balik. Pukul 6 petang masih ada separuh dan dia dapat kumpul RM20.

Di tengah jalan balik tiba-tiba hujan. Dalam bunyi hujan itu dia teringat suara abang Ali kerana abang paling suka hujan. Kata abang, hujan ini basuh dosa laut. Laut itu masin sebab banyak simpan cerita orang.

Abang Ali seorang nelayan. Tiga tahun lepas bot fiber abang hilang di tengah ribut di perairan luas dan tidak jumpa sampai ke hari ini. Malam itu selepas tiga tahun, dia memberanikan diri membuka sampul coklat itu dan di dalamnya ada sekeping kertas kajang.

Tulisan abang besar-besar, tak kemas dan macam budak sekolah. ‘Ron, Kalau abang tak balik, kau jaga rumah. Jangan jual. Rumah tu ayah punya. Abang ada baca majalah lama. Cerita pasal Safron.

Rempah paling mahal di dunia. Sekilo beribu ringgit. Tanam belakang rumah. Abang baca dia hidup tempat sejuk tapi cubalah. Tanam sikit-sikit. Nanti kita kaya. Abang janji kalau balik bawakan Ron benih betul. Jaga diri kau. Abang Ali. Tiada tarikh’.

Safron ketawa kecil. Tanam Safron? Abang ingat Safron itu macam tanam kangkung. Rempah paling mahal di dunia perlu cuaca sejuk seperti di Kashmir, perlu tanah luas, perlu beribu kuntum bunga untuk dapatkan satu gram. Di belakang rumah cuma ada tanah sekangkang kera yang keras dan tujuh pokok limau yang nak mati. Dia lipat surat itu elok-elok dan masukkan balik dalam sampul.

Tiga hari sebelum tarikh lelong, dua lelaki datang tengok rumah. Bercakap kuat-kuat dan ukur sana sini dengan pita kuning. Seorang kata, nanti kita roboh semua dan buat kedai runcit dua pintu, untung. Malam terakhir di rumah itu dia tidak tidur. Angin dari laut jauh sampai dan bawa bau masin. Bau yang sama bawa abang pergi. Dia buka tin sekali lagi. Kali ini dia keluarkan tudung putih arwah mak.

Mak pakai masa pergi kenduri dan hospital. Kain sudah kuning di hujung tapi bau kapur barus masih ada. Dia teringat tangan mak yang kasar tapi menjadi lembut bila ajar menjahit. Mak meninggal dunia masa Safron Tingkatan Lima kerana kanser payudara. Masa itu kesempitan wang dan rawatan separuh jalan. Selepas solat Subuh dia berdoa lama dan ke belakang rumah. Tanah masih basah dari hujan semalam. Dia ambil cangkul ayah yang gagangnya sudah licin.

Dia gali satu lubang kecil sedalam satu inci dan masukkan sebiji biji limau yang sudah kering dalam genggamannya tapi bukan benih Safron. Dia tak ada benih Safron dan tak tahu pun rupa benih Safron tapi dia tanam juga atas nama harapan dan atas nama abang Ali. Pukul sembilan pagi kereta bercap logo bank sampai. Turun dua pekerja dan seorang pegawai. Mereka tunggu di luar pagar.

Safron kunci pintu buat kali terakhir dan gantung pada pemegang pintu serta berjalan keluar tanpa menoleh ke belakang. Takut kalau toleh dia tak jadi pergi. Dalam begnya ada tin biru itu. Ada surat abang, tudung mak dan gambar keluarga. Ada RM50 yang tinggal dan sebotol air mineral. Dia naik bas ekspres ke bandar Sentosa. Kini dia tidak menangis kerana sudah berjanji pada diri.

Di Sentosa dia sewa bilik kecil di tingkat atas kedai alat tulis di Jalan Aman dengan sewa RM200 sebulan dan berkongsi tandas dengan tiga orang lain. Safron dapat kerja di kedai kain India Muslim. Kerjanya melipat baju, sapu lantai dan susun stok dengan gaji RM800 sebulan. Bila malam dia tidak lepak di luar tetapi belajar menggunakan telefon dan tengok YouTube percuma.

Kelas menjahit baju kurung moden, kelas buat kek marble dan kelas tanam sayur dalam pasu guna tanah kompos. Dia catat semuanya dan mulai dari saat itu dia mula berjimat. Setahun berlalu, dia pindah ke bilik yang lebih baik. Ada tingkap luas dan singki sendiri dengan sewa RM350. Dia mula ambil tempahan baju kurung dari jiran-jiran sekeliling flat. Tangan dia masih ingat ajaran mak.

Dua tahun berlalu, dia dapat kumpulkan wang dan buka gerai kecil di pasar malam. Jual baju kurung siap dan kuih lapis. Dia tulis nama gerai atas kain rentang kuning bernama SAFRON.

Kenapa nama Safron? Jual rempah ke?” Orang pasar bertanya.

“Sebab warna harapan. Warna mahal,” jawab Safron sambil tersenyum.

Tiga tahun berlalu dia beli mesin jahit kedua dan mengupah dua gadis dari flat sebelah yang baru habis sekolah dan tak ada kerja. Dia ajar mereka menjahit macam mak ajarnya dulu. Empat tahun berlalu, umur Safron 36 tahun. Dia sudah ada wang simpanan untuk masa depan.

Suatu petang Jumaat, dia balik ke kampung Aman menaiki kereta sewa. Rumah papan itu sudah tiada.

Tapak tanah sudah jadi kedai runcit dua pintu, dinding biru, papan tanda besar Kedai Runcit Ali & Anak. Safron berdiri lama di seberang jalan. Di belakang kedai dulunya kebun limau dan ada tanah kosong kecil dalam semeter. Tuan kedai letak tujuh pasu bunga. Dalam pasu itu bukan limau, bukan Safron tapi bunga kertas berwarna merah, putih dan oren. Bunga kertas itu hidup subur.

Dia duduk di tepi pasu itu. Dia buka tin biru yang sentiasa ada bersamanya. Kali ini isi tin itu sudah lain dan ada gambar baru. Gambar dia dengan dua pekerja perempuan depan mesin jahit.

Gambar gerai SAFRON masa dapat anugerah usahawan kecil. Ada sampul wang berisi RM1,000. Dia keluarkan surat abang yang sudah lusuh dan baca lagi buat kali terakhir. ‘Tanam Safron belakang rumah’. Dia pandang pasu-pasu bunga kertas itu.

Safron tutup tin dan berdiri. Dia tidak usik pasu itu dan ambil tanah kerana tidak perlu lagi. Rumah itu sudah hilang, dijual dan dirobohkan tapi rumah itu tidak pernah hilang dari dalam. Rumah itu ada dalam jahitan baju kurungnya. Ada dalam bau limau. Ada dalam tin biru.

Malam itu dia buka komputer riba yang baru dibeli dan taip di Google cara tanam Safron di Malaysia. Keluar banyak artikel dan semua kata mahal, sukar, perlu cuaca sejuk dan tanah tinggi.

Kemudian dia buka fail Word baru. Taip: ‘Nota untuk diri sendiri – Safron. Tanam apa yang boleh hidup. Jangan kejar apa yang tak boleh hidup di sini. Jaga apa yang masih tinggal. Jangan menangis untuk apa yang sudah terjadi. Harapan bukan tentang dapat balik apa yang hilang tetapi harapan tentang tanam baru di tempat lain dengan tanah lain’.

Di luar hujan. Kali ini tidak lebat hanya renyai-renyai sahaja mengetuk bumbung zink bilik sewa. Safron baring dan terus matikan lampu.

Dalam gelap dia teringat warna. Warna tudung mak yang putih kuning, warna dakwat biru surat abang, warna oren langit petang tadi dan warna benang emas di mesin jahitnya. Semua warna itu berkumpul menjadi satu warna dalam kepala dia. Warna yang mahal dan warna yang sabar kerana namanya adalah Safron.

Pagi esok dia akan bangun pukul 5 pagi lagi. Seperti biasa membuka kedai, melipat baju dan senyum pada pelanggan. Pulang petang dia akan siram bunga kertas di depan bilik sewa. Hidup tidak pernah jadi seperti yang abang Ali tulis dalam surat. Abang kata kita akan kaya dengan Safron. Sebenarnya kita tidak kaya dan cuma cukup makan tapi hidup tetap berjalan. Bagi Safron itu sudah cukup dan lebih daripada cukup.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini