Kalau tidak popular, susah tarik orang tonton filem kita - Syazlie Syah - Utusan Malaysia

Kalau tidak popular, susah tarik orang tonton filem kita – Syazlie Syah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON meningkat naik, Syazlie Syah sedia maklum akan dunia lakonan yang ditempuhinya yang rata-ratanya lebih memandang populariti serta rupa paras berbanding bakat lakonan itu sendiri.

Dia bersetuju dengan pepatah tak kenal, maka tak cinta yang dalam konteks dunia lakonan, lebih menjurus kepada pernyataan; kalau tidak popular, maka tidak terjuallah sesuatu produk atau bakat tersebut.

Tetapi, Syalie atau nama sebenarnya Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah lebih senang jika populariti itu bermula daripada bakat yang benar-benar mencuri perhatian. Katanya, tidak salah jika mahu popular, tetapi biarlah yang popular itu berbakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berpegang kepada pesanan pelakon, Zul Ariffin iaitu untuk bertahan dalam bidang ini, seseorang itu perlukan populariti. Itu hakikat dan majoritinya akan bersetuju dengannya.

“Populariti adalah cebisan besar dalam bidang lakonan. Dan saya terbuka untuk terima hakikat pelakon itu harus popular, namun dengan cara yang lebih baik.

“Saya tidak menidakkan perkara itu. Itulah rencah dunia lakonan, kalau tidak popular, macam mana mahu menarik orang untuk menonton lakonan kita? Dan macam mana pula orang akan percaya kepada kredibiliti kita kalau kita tidak dikenali,” katanya.

Pelakon berusia 28 tahun ini tidak bercakap kosong kerana penilaiannya tentang populariti adalah berdasarkan episod pengalaman sebelum ini.

“Kalau saya hadiri uji bakat atau casting, belum tentu saya akan mendapatkan watak.

“Saya melihat produksi ini, kebanyakannya mencari pelakon yang sudah ada nama, yang ada pengikut ramai di media sosial.

“Sebab itu, saya kumpul pengikut yang ramai selepas diberitahu, ini yang mereka mahukan. Jadi, saya aktif di TikTok dan Instagram, adakalanya saya buat sesi siaran langsung. Saya kena terima kerana ini yang penonton mahukan,” kongsinya.

STATUS SUAMI BUKAN PENGHALANG

Bergelar suami kepada suri hati pilihannya, Syazlie tidak menganggap perkara itu sebagai tembok yang menghalang dirinya untuk berjaya dalam dunia lakonan.

Pembawa watak Hang Tuah dalam filem The Keris ini malah beranggapan berkahwin awal sebagai satu kelebihan bagi seseorang pelakon.

“Status sebagai suami orang bukan isu. Selama ini, tiada peraturan yang mengatakan kalau sudah berkahwin, kerjaya lakonan tidak akan ke mana.

“Saya yakin penonton pun tidak kisah akan perkara itu. Yang mereka pentingkan adalah lakonan seseorang pemain wayang.

“Ia berdasarkan komen netizen yang saya terima. Mereka lebih menilai bakat berbanding status saya yang sudah bergelar suami.

“Malah satu kelebihan sebenarnya apabila sudah berkahwin kerana isteri saya boleh menguruskan kerjaya seni dan perjalanan jadual harian saya,” katanya.

Namun, Syazlie tidak menolak tetap menerima gangguan orang ketiga di media sosial lebih-lebih lagi godaan kaum sejenis.

“Gangguan daripada wanita memang kurang. Yang ada kebanyakannya daripada lelaki. Ramai yang mesej saya di Instagram dan TikTok.

“Daripada mesej tersebut kita boleh baca apa niat dan tujuan mereka sebenarnya.

“Apa pun saya boleh mengambil pendekatan yang lebih profesional. Jikalau gangguan ini berlaku di tempat kerja, saya akan abaikan dan buat tidak tahu saja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini