‘Simpang siur’ Lebuh Raya Pan Borneo

‘Simpang siur’ Lebuh Raya Pan Borneo

Laluan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi Bandar Putatan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN). – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedih sungguh dengan nasib penduduk Sabah yang ingin kehidupan lebih baik. Hendak merasai nikmat pembangunan kemudahan asas bagi mimpi siang hari. Hendak menikmati bekalan air bersih, bukan mudah kalau tidak ada tangki biru , manakan mahu rasa air bersih.

Pembangunan kemudahan asas yang lain juga agak perlahan. Keluhan yang saya selalu dengar daripada penduduk Sabah amat memilukan, banjir yang melanda kawasan mereka jarang yang ambil tahu, dakwa mereka sebagimana satu kejadian banjir di Beluran, Sandakan tidak lama dulu menenggelamkan sekolah bangunan agak usang.

Rakan-rakan penduduk Sabah mengeluh, bekalan air tidak sempurna manakala keadaan jalan raya berlubang lubang yang ramai penduduk Sabah menyifatkannya jalan di bulan .

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian juga kemudahan jalan raya. Malah ada pelajar yang terpaksa ke sekolah menggunakan selipar terlebih dahulu dan menukarkan kepada kasut apabila sampai ke bangunan sekolah kerana jalan berlumpur, mungkin kerap digunakan lori balak di kawasan tersebut.

Demikian serba sedikit gambaran bagi menghuraikan masalah infrastruktur di negeri berkenaan.

Kebiasaanya ada sedikit perkembangan baik dari segi kemudahan jalan raya apabila kawasan berkenaan menerima pemimpin yang dilantik ketua menteri seperti yang berlaku di Papar, Sandakan dan Kota Belud apabila pemimpin kawasan tersebut menerima ketua menteri iaitu masing-masing Tan Sri Osu Sukam, Tun Musa Aman dan Datuk Seri Salleh Tun Said.

Di beberapa kawasan atau daerah lain seperti Kudat dan Tawau belum menikmati jalan raya lebih baik disebabkan belum ada pemimpinnya dilantik ketua menteri.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menjadi timbalan ketua menteri, mengakui sendiri masalah jalan seperti bulan itu.

Seorang pemimpin tempatan Sabah yang lain sebelum ini ‘menjerit jerit’ di Dewan Rakyat mengeluh tahap kemudahan infrastruktur di Sabah dan menyalahkan kerajaan negeri kerana jalan yang tidak sempurna itu, tetapi kita diberitahu sebatang jalan utama yang masuk ke kawasan Parlimennya ada yang berlubang seluas beberapa meter sahaja tetapi tidak diselenggara meski pun sudah berlaku bertahun tahun. Ironinya beliau juga pernah menjadi pemimpin kanan Kabinet Negeri.

Terkini, laporan terbaharu kita dengar Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) berdepan masalah kemajuan projek apabila projek mega itu di Sabah hanya mampu disiapkan 11.4 peratus pakej kerja selepas lebih 10 tahun.

Ini berbeza apabila dibandingkan dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang kini hampir siap sepenuhnya.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, LPB Sabah Fasa 1 yang dirancang sejak 2015 meliputi 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer (km) masih belum disiapkan selepas lebih 10 tahun.

Sehingga 31 Mac lalu, beliau berkata, hanya empat pakej kerja atau 11.4 peratus dengan jumlah kos asal RM0.567 bilion telah disiapkan.

“Baki 31 pakej kerja atau 88.6 peratus bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan.

“Daripada 31 projek dalam pelaksanaan, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual,” katanya dalam kenyataan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026.

Beliau berkata, antara isu pengurusan projek yang dikenal pasti sebagai ketakteraturan serius adalah kelulusan Arahan Perubahan Kerja melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta.

Mengenai projek LPB Sarawak, Wan Suraya berkata, sebanyak 10 pakej kerja berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.

Katanya, satu pakej kerja iaitu WP11 pula berada pada tahap 99.9 peratus.

Tambahnya, pengauditan mendapati kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus kontrak yang kurang cekap.

Itu satu lagi isu dalam pembangunan kemudahan di Sabah, malah kalau siap sepenuhnya, kemudahan tersebut bakal dinikmati penduduk yang rata-rata terpegun apabila menggunakan lebuh raya di Semenanjung Malaysia.

Masalahnya, kenapa tidak ada pemimpin Sabah yang hadir di Parlimen mempersoal atau mempertikaian kelewatan tersebut.

Namun ada sedikit kelegaan apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru -baru ini menjelaskan di Dewan Rakyat.

Katanya, jajaran itu melibatkan dua pakej kerja utama iaitu Pakej Kerja 1 (WP01) dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 km dan Pakej Kerja 2 (WP02) dari Melalia ke Beaufort sepanjang 34.7 km.

Setakat ini, kemajuan fizikal WP01 berada pada tahap 87.79 peratus berbanding 97.64 peratus mengikut jadual asal manakala WP02 mencatatkan kemajuan 62.31 peratus berbanding 77.87 peratus.

“Status kemajuan semasa bagi kedua-dua pakej kerja ini mengalami kelewatan berbanding jadual asal disebabkan beberapa faktor serta kekangan teknikal,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Alexander berkata, kelewatan pelaksanaan projek LPB di Sabah adalah lebih rumit berbanding di Sarawak berikutan jumlah pakej kerja yang lebih banyak.

Katanya, pelaksanaan projek LPB di Sabah melibatkan anggaran jarak keseluruhan 706 km yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, berbanding di Sarawak sejauh 786 km yang hanya melibatkan 11 pakej kerja.

“Ini menyebabkan proses pengurusan, perolehan tender serta penyelarasan antara kontraktor, agensi kerajaan dan perunding menjadi lebih panjang.

“Keadaan ini secara tidak langsung menjadi antara punca kelewatan pelaksanaan projek berkenaan berbanding di Sarawak,” katanya.

Bagi memastikan projek itu kembali mengikut landasan, Alexander memaklumkan, kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil pelbagai tindakan tegas melalui langkah-langkah intervensi.

Sebuah institut di Sabah yang saya minta pandangannya berpendapat, kelemahan tadbir urus kontrak yang dibangkitkan perlu ditangani dengan serius, dan syor-syor audit wajar dilaksanakan sepenuhnya.

Kata agensi berkenaan lagi, di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal tanah di Sabah ditadbir oleh undang-undang negeri sendiri, terutamanya Ordinan Tanah Sabah (Bab 68).

Seksyen 15 Ordinan tersebut mengiktiraf hak adat anak negeri secara jelas, termasuk tanah yang diusahakan, tanah berkubur, tanah yang ditanam pokok buah-buahan dan laluan yang digunakan secara turun-temurun.

Hak-hak ini perlu disiasat, disahkan dan diselesaikan sebelum tanah boleh diambil atau diberi milik untuk tujuan lain. Bagi projek linear sepanjang 706 kilometer yang merentasi banyak kampung dan kawasan luar bandar, keperluan ini bermakna setiap segmen perlu melalui proses pengesahan tuntutan, penilaian pampasan dan rundingan dengan pemilik serta komuniti, ” ujarnya.

Seorang pemimpin politik di Sabah yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Ajis Jamman berpendapat, Laporan Ketua Audit Negara amat jelas bahawa masalah LPB di Sabah bermula, sebelum pun parti Warisan mengambil alih kerajaan Sabah, kemajuan projek memang sudah lambat.

“(Ahli Parlimen Kota Belud) Isnaraissah Munirah Majilis dengan lantang minta Jawankuasa Kira-kira Wang (PAC) ditubuhkan untuk menyiasat namun Persekutuan memilih tidak mengendahkan. Kenapa? “ soalnya.

Dalam pada itu, pekerja kontraktor yang pernah melaksanakan projek tersebut mendakwa pemilihan kontraktor yang tidak berkemampuan dan tidak ada pengalaman menjalankan projek sebesar itu mungkin antara punca, selain beberapa masalah lain seperti kekangan kewangan.

Soal tuding menuding jari tidak selesaikan masalah, tetapi apa penyelesaiannya?

Diharap jaminan Kementerian Kerja raya itu memberi kelegaan rakyat Sabah atau perlu menunggu pilihan raya lagi untuk disiapkan supaya dijadikan gula gula politik. Harapnya tidak begitu.

Khabarnya PAC baru-baru ini ada mencadangkan supaya projek tersebut disiasat manakala Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Joachim

Gunsalam pula menjelskan gangguan tenaga kerja serta rantaian bekalan bahan binaan ketika pandemik Civid 19 turut memberi kesan kepada pelaksanaan projek.

“Kerajaan (Sabah) mengakui kelewatan dan memberi tumpuan kepada penyelesaian di tapak serta penambahbaikan pengurusan projek,” katanya baru-baru ini. Rakyat Sabah boleh lega.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini