SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai aktif sejak Jun lalu setelah menyerbu sebuah hotel terbiar di Taman Lagenda, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, empat lelaki Bangladesh berumur 20 hingga 30 tahun turut ditahan bersama kelengkapan digunakan mereka selain sejumlah wang tunai.
“Mereka dipercayai menjadi ahli sindiket terbabit yang mengendalikan urusan tambah nilai mata permainan dalam talian dan dibayar gaji sebanyak RM2,700 sebulan.
“Dalam siasatan awal, kira-kira 17 akaun pelanggan dipercayai berdepan masalah pengeluaran wang yang tertangguh dengan anggaran kerugian sebanyak RM2,000 sehari,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Hanyan berkata, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an yang disyaki terlibat dalam urusan sewa premis terbabit yang merupakan hotel terbiar sejak 2022.
“Jumlah sebenar pelanggan yang mengalami kerugian masih dalam siasatan dan kita mendapati kebanyakan mangsa berasal dari Bangladesh,” katanya.
Katanya, pelbagai barangan dirampas dalam serbuan itu termasuk 17 telefon bimbit, empat unit pemprosesan pusat (CPU), lapan monitor dan wang tunai berjumlah RM2,442.
“Kita sedang mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan ini dan pada masa yang sama sedang mengenal pasti sama ada warga Bangladesh ini dipaksa atau bekerja secara sukarela,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, selain turut mempertimbang siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007. – UTUSAN











