PERNAH menjadi pusat industri perikanan Labrador yang sibuk dengan kehadiran ratusan penduduk dan ribuan nelayan bermusim, pulau kecil Battle Harbour di Kanada kini menawarkan pengalaman penginapan unik dalam suasana sunyi, seolah-olah terperangkap dalam zaman silam.
Terletak di pesisir Labrador, pulau itu mengekalkan deretan rumah kayu bersejarah, bangunan pemprosesan ikan yang sudah usang serta kediaman nelayan yang dipulihkan, meskipun sudah lebih setengah abad tiada penduduk menetap di situ sepanjang tahun.
Suasana pulau itu seakan-akan membawa pengunjung kembali ke awal 1900-an apabila industri ikan kod masin berkembang pesat dan Battle Harbour menjadi antara pusat perdagangan utama di rantau berkenaan.
Malah, pengunjung yang tiba dengan feri akan disambut figura nelayan dan pedagang bersaiz sebenar yang kelihatan seperti manusia, tetapi sebenarnya potongan kadbod daripada gambar arkib lama.
Pengarah Eksekutif Battle Harbour Historic Trust, Peter Bull menyambut ketibaan pengunjung dengan penerangan mengenai kehidupan di pulau itu, termasuk jadual makan, lawatan berpandu serta kemudahan asas yang terhad.

Tiada perkhidmatan telefon bimbit disediakan, manakala akses Wi-Fi hanya tersedia di satu lokasi untuk kegunaan bersama. Pengunjung juga diberikan alat komunikasi dua hala bagi menghubungi petugas sekiranya berlaku kecemasan, termasuk pada waktu malam.
Walaupun kelihatan terpencil, Battle Harbour masih menawarkan penginapan di bangunan bersejarah yang dipulihkan, termasuk bilik di Merchant Building, lima buah kotej dan 12 bilik lain yang dilengkapi bilik mandi sendiri.
Pengunjung boleh menikmati suasana tanpa gangguan televisyen atau kesibukan kehidupan moden, sambil menghadap laut dari kerusi di dalam bilik penginapan. Bagaimanapun, perjalanan ke pulau itu memerlukan perancangan dan masa yang panjang.
Pengunjung perlu menaiki penerbangan ke Happy Valley-Goose Bay di tanah besar Labrador sebelum meneruskan perjalanan darat selama kira-kira lima jam melalui lebuh raya Expedition 51 yang dikelilingi hutan. Dari jeti di Mary’s Harbour, mereka kemudian menaiki bot penumpang untuk perjalanan sejauh 14.5 kilometer ke Battle Harbour.
SEJARAH BATTLE HARBOUR
Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang melihat pesisir berbatu, pulau-pulau kecil serta burung laut seperti camar, kittiwake dan gannet.
Sejarah Battle Harbour bermula pada 1770-an apabila seorang pedagang Inggeris, John Slade, membuka pusat perdagangan di pulau itu yang menjadi pintu masuk ke kawasan perikanan Labrador yang kaya dengan hasil laut.
Ikan kod diproses menjadi ikan masin sebelum dieksport ke Eropah, Caribbean dan kawasan lain.
Ketika mencapai kemuncaknya, pulau itu mempunyai hospital, sekolah, gereja dan stesen komunikasi tanpa wayar, selain didiami kira-kira 300 penduduk tetap.
Ribuan nelayan bermusim turut singgah di situ. Sebahagian daripada mereka tinggal di atas kapal layar jenis schooner, manakala yang lain membina pondok sementara di darat sepanjang musim menangkap ikan.
Namun, kemakmuran Battle Harbour semakin merosot akibat kebakaran besar pada 1930, kemerosotan stok ikan dan program penempatan semula penduduk yang dilaksanakan wilayah berkenaan pada 1960-an. Menjelang 1970-an, penduduk terakhir yang menetap di pulau itu sepanjang tahun turut memilih berpindah.
Tamparan hebat terhadap industri perikanan di kawasan itu berlaku pada 2 Julai 1992 apabila Kanada menguatkuasakan moratorium penangkapan ikan kod, menyebabkan kira-kira 30,000 orang di Newfoundland dan Labrador kehilangan pekerjaan.
Hari ini, Battle Harbour diuruskan oleh sebuah badan amanah yang bertanggungjawab memulihara bangunan dan warisan sejarahnya. Tapak bersejarah itu tidak membenarkan kenderaan dan hanya dibuka kepada pengunjung selama kira-kira tiga bulan setiap musim panas.
Bagi Bull, hubungan keluarganya dengan pulau itu bermula lebih seabad lalu apabila datuknya menangkap ikan di sepanjang pesisir Labrador.
Beliau mula bekerja di Battle Harbour pada 2013 dan menghabiskan sebahagian besar musim panas di pulau itu sebelum pulang ke kediamannya di St John’s setiap September.
Bekalan ikan kod, sotong, ikan tenggiri serta buah beri tempatan yang dikumpulkannya membantu menampung keperluan sepanjang musim sejuk.
Satu lagi tarikan utama adalah dua menara komunikasi tanpa wayar Marconi yang dibina pada 1906 dan dibaik pulih pada 1931. Menara itu merupakan pasangan terakhir alat komunikasi seumpamanya yang masih wujud di Amerika Utara.
Sistem telegraf tanpa wayar berasaskan gelombang radio yang dibangunkan oleh pencipta dari Itali, Guglielmo Marconi pernah digunakan untuk membantu pelayaran kapal dan menghantar mesej.
Selain menelusuri sejarah, pengunjung boleh menikmati hidangan tempatan seperti ikan arang Artik, ikan kod goreng kuali dan pai daging rusa moose di ruang makan bersama.
Ketika matahari terbit, pengunjung boleh berjalan melalui laluan tanah menuju ke tanah perkuburan untuk melihat rubah keluar dari sarangnya di lereng berbatu.
Di pulau itu, pengunjung juga boleh bertemu penduduk tempatan seperti Tanya Russell, seorang pegawai pos dan jurugambar amatur yang gemar merakam keindahan alam semula jadi.
Bagi pengunjung yang menginap di pulau itu, pengalaman tersebut bukan sekadar percutian, tetapi peluang menikmati kehidupan yang jauh daripada kesibukan moden sambil mengenali sejarah sebuah pusat perikanan yang pernah berkembang pesat.-UTUSAN










