Tiga letupan kedengaran di Riyadh - Utusan Malaysia

Tiga letupan kedengaran di Riyadh

BEBERAPA letupan kedengaran di Riyadh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Beberapa letupan kedengaran di ibu negara Arab Saudi pada Ahad, ketika kerajaan itu dijadualkan membuka semula Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh meskipun kumpulan Houthi dari Yaman berulang kali melancarkan serangan.

Arab Saudi, yang mengetuai gabungan tentera memerangi Houthi yang disokong Iran, berdepan gelombang serangan daripada kumpulan itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pertempuran tercetus selepas gencatan senjata yang berkuat kuasa selama beberapa tahun antara Houthi dengan kerajaan Yaman yang disokong Riyadh runtuh, sekali gus mengalihkan tumpuan kepada perang lebih luas antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh memaklumkan penerbangan akan disambung semula pada Ahad selepas ditutup selama dua minggu susulan serangan Houthi. 

Laman pemantauan penerbangan FlightRadar menunjukkan sebuah pesawat berlepas pada awal hari itu.

Kumpulan itu melancarkan beberapa gelombang serangan ke atas lapangan terbang berkenaan, termasuk serangan bulan ini yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang merupakan serangan paling dahsyat di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree memberi amaran bahawa kemudahan itu masih tidak selamat dan menjadi sasaran ketenteraan.

“Angkatan Tentera Yaman memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa, serantau dan tempatan, serta kakitangan termasuk penumpang supaya tidak menggunakan Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh kerana ia tidak selamat selain menjadi sasaran ketenteraan angkatan tentera kami,” katanya.

“Rejim Arab Saudi akan menanggung akibat daripada sebarang operasi di lapangan terbang itu,” tambahnya.

Seorang wartawan AFP di bandar itu mendengar tiga letupan pada awal pagi Ahad, manakala penduduk menerima mesej amaran mengenai ancaman udara musuh yang menggesa mereka berlindung di tempat selamat.

Amaran itu dikeluarkan ketika gabungan pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi berkata, pihaknya memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan itu ke arah Riyadh dan dua dron di kawasan ibu negara.

“Sistem pertahanan udara memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah Riyadh,” menurut hantaran gabungan itu di X.

Serangan itu berlaku selepas kumpulan berkenaan mendakwa bahawa dalam tempoh 24 jam, pihaknya menyasarkan tiga lapangan terbang Arab Saudi, termasuk di Riyadh, kemudahan tenaga, sebuah saluran paip dan pangkalan udara.

Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi berkata, pihaknya turut menangani kejadian serpihan yang jatuh di wilayah Mekah dan Madinah pada Sabtu selepas memintas dua peluru berpandu Houthi.

Houthi menafikan menyasarkan kedua-dua kota suci Islam itu dan menyifatkan dakwaan Arab Saudi sebagai pembohongan besar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini