Jerebu akhirnya pulih selepas tiga bulan

Jerebu akhirnya pulih selepas tiga bulan

PEMANDANGAN udara yang bersih dan bangunan yang jelas kelihatan dikongsikan seorang pengguna di Threads. - SUMBER MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandangan udara yang berjerebu di negara ini selama hampir tiga bulan kian pulih selepas kebanyakan kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sederhana (51-100), hari ini.

Kebanyakan kawasan merekodkan bacaan antara IPU 65 hingga 98 seperti di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Gombak, Cheras, Banting dan Dengkil berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Rata-rata perbualan warga maya di media sosial menzahirkan keterujaan selepas pemandangan indah dengan panorama langit membiru mula kelihatan dan tiada lagi halangan melihat dengan jelas bangunan pencakar langit di ibu kota.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pengguna, Nooranis Rosli menerusi Threads berkongsikan pemandangan bukit-bukau yang jelas kelihatan selepas jerebu mula hilang.

“Ramai kongsi hari ini jerebu makin hilang, langit sudah mula nampak awan kepok-kepok. Jom kongsi gambar langit tempat masing-masing. Ada yang sudah biru cantik ke,” kongsinya.

Pengguna lain, Shazry Ramlan turut berkongsikan pemandangan udara di kawasan perumahannya di Semenyih yang tidak lagi diselubungi oleh asap jerebu selepas hujan lebat melanda selama dua hari di kawasan itu.

Msyukri Afifi pula berkongsikan gambar orang ramai menyertai aktiviti larian dan senaman pagi dengan pemandangan Menara Kuala Lumpur serta bangunan pencakar langit yang jelas kelihatan.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lalu, dijangka beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua minggu susulan perubahan corak pergerakan angin.

Katanya, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun sejak 9 Oktober, sebelum monsun timur laut dijangka bermula pada penghujung Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini