KUCHING: Sebanyak RM9 juta diperuntukkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi subsidi pemeriksaan mamogram yang dijangka memanfaatkan hampir 40,000 wanita di seluruh negara, tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara.
Beliau berkata, kerajaan berharap lebih ramai wanita memanfaatkan inisiatif itu untuk menjalani ujian saringan awal kanser payudara.
“Untuk tahun depan, seramai 38,000 wanita (di seluruh negara) akan mendapat manfaat subsidi ini dan dianggarkan 9,000 daripadanya adalah di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Nancy berkata, wanita digalakkan mendaftar lebih awal bagi mendapatkan peluang menjalani pemeriksaan berkenaan menerusi kemudahan yang disediakan.
“LPPKN memperkenalkan Program Subsidi Ujian Mamogram sejak tahun 2007 sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk memperluas akses wanita kepada saringan awal kanser payudara.
“Sehingga 30 September lalu, program itu memanfaatkan 598,919 wanita seluruh negara.
“Di Sarawak sahaja seramai 90,075 wanita mendapat manfaat dan menjalani saringan dengan seramai 88 orang daripadanya didapati positif kanser,” katanya.
Beliau berkata, di Sarawak kemudahan pemeriksaan mamogram disediakan di beberapa hospital di seluruh negeri termasuk di Kuching, Sibu dan Miri.
“Langkah itu penting bagi memastikan wanita mempunyai akses lebih mudah kepada pemeriksaan, terutama dalam usaha mengesan kanser payudara pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal amat penting kerana kanser payudara antara kanser yang paling banyak menjejaskan wanita di Malaysia.
Beliau turut menasihatkan wanita supaya tidak menunggu sehingga berusia 40 tahun untuk menjalani pemeriksaan, sebaliknya mendapatkan saringan lebih awal.
Katanya, wanita berusia 18 tahun ke atas sudah boleh digalakkan menjalani pemeriksaan, manakala mereka yang berisiko tinggi perlu memberi perhatian khusus terhadap saringan apabila mencapai usia 40 tahun.











