KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysian University (MU) muncul juara Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2024, sekali gus menamatkan penantian selama enam tahun untuk bergelar juara.
Kejayaan itu hadir selepas anak-anak buah Lailin Abu Hassan melakar kemenangan 2-1 ke atas CS Mustang HT dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, MU cemas apabila kedudukan mereka dipintas seketika oleh pesaing terdekat mereka iaitu, Liaoning Hockey Team apabila pasukan jemputan dari China menumpaskan Mutiara Impian-MSSPP 8
Ketua jurulatih MU, Lailin Abu Hassan berkata, anak-anak buahnya mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membenam cabaran CS Mustang HT.
“Dalam perlawanan ini, terdapat begitu banyak peluang tetapi pemain gagal memanfaatkan dengan jaringan. Malah saya boleh katakan pemain sedikit gugup dan kelihatan tertekan.
“Bagaimanapun, mereka berjaya memperkemaskan rentak permainan sebelum kembali mengatur serangan dan Alhamdulillah kita dapat jaringan yang di cari,” katanya.
Sebagai rekod, MU yang dikenali sebagai PKS Uniten-KPT sehingga musim lalu sebelum menjenamakan semula nama mereka pada 2024 pernah muncul juara MHL pada 2018 dan ini adalah kejuaraan kedua buat mereka.
Menurut Lailin, MU kini dalam fasa untuk memburu kejuaraan ketiga musim ini dan dia berharap mampu meneruskan prestasi cemerlang serta konsisten sekali gus merampas kembali Piala Vivian May Soars yang terlepas apabila tewas kepada Negeri Sembilan di pentas final musim lalu.
Untuk rekod, anak didik Lailin sudah menggenggam dua kejuaraan musim ini selepas muncul juara Piala Sumbangsih apabila menewaskan Negeri Sembilan 3-0 dalam penentuan selepas terikat 2-2 dalam perlawanan sebenar.-UTUSAN










