Saya murtad? Itu tuduhan melampau

Saya murtad? Itu tuduhan melampau

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MEMULAKAN perbualan dengan Ahli Parlimen Bentong, YOUNG SYEFURA OTHMAN tidaklah terasa janggal, kerana beliau tahu bagaimana membawa diri setiap kali bercakap dengan pemberita.

Gaya santai beliau membuka satu perbualan bersahaja tentang banyak perkara dan tidak ketinggalan, topik keahliannya dalam DAP yang sering mengundang rasa tidak puas hati masyarakat dengan apa dikatakan sebagai satu pengkhianatan bangsa Melayu.

Paling keras, beliau dituduh murtad selepas menang dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti dan pelantikannya sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, 16 Mac lalu.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; juruvideo, NOORUL ERNI NADIA dan jurugambar, SYAKIR RADIN di ibu negara, baru-baru ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu berkongsi pengalaman sebagai jururawat sebelum politik mengubah lanskap kehidupannya sebagai pemimpin wanita DAP yang sering menjadi perhatian.

INGATKAN KECAMAN ITU SUDAH HABIS
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perasaan Yang Berhormat (YB), selepas dituduh murtad di media sosial?
YOUNG SYEFURA: Saya kecewa dan isu ini tidak boleh dibiar berlarutan dalam kalangan masyarakat. Tuduhan ini amat melampau. Suka hati sahaja mereka label saya murtad sedangkan mereka tidak kenal rapat pun dengan saya hanya kerana ideologi parti politik saya berbeza.

Saya ingat kecaman seperti ini sudah habis tetapi nampaknya netizen atau pengguna media sosial masih memainkan sentimen ini dan ia berterusan. Siapa mereka melabel seseorang murtad? Ini melampau.

Sepatutnya bulan Ramadan ini, kita semua fokus pada ibadah bukannya mendatangkan fitnah. Malangnya, mereka menggunakan media sosial untuk mencaci dan memaki.

Pernah dituduh seperti itu sebelum ini?
Memang ada, cuma, saya ingat apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama UMNO dan parti politik lain, persepsi terhadap saya dan DAP boleh diubah. Hakikatnya, ia tidak berlaku.

Saya juga baca komen di media sosial sampai ada yang tulis: “Jika saya mati nanti siapa yang mahu kafankan?” Kenyataan ini benar-benar amat menyedihkan.

Macam mana YB menangani tanggapan negatif seperti ini?
Pemimpin politik memainkan peranan sangat penting kerana mereka keluarkan kenyataan bertulis di media sosial atau bercakap secara lisan dalam Dewan Rakyat, program ceramah dan sebagainya. Setiap kenyataan mereka tidak kira benar atau salah akan diikuti penyokong mereka.

Bercakap tentang pemimpin politik ‘sebelah sana’, bukanlah saya mahu mereka memihak saya, tetapi, tiada seorang pun daripada mereka yang cuba menepis tanggapan ini.

Sikap berdiam diri mereka seolah-olah membenarkan kenyataan sememangnya salah. Sekurang-kurangnya, mereka keluar kenyataan tidak patut melabel seseorang murtad hanya kerana berbeza pandangan.

TERASING
Menjadi satu-satunya pemimpin wanita Melayu dalam Kepimpinan Pusat DAP yang majoritinya Cina dalam pemilihan CEC DAP minggu lalu? YB tidak rasa terasing dan terpencil?
Tidaklah. Sebab saya tidak melihat kepada kaum dan agama. Ini tentang kepemimpinan yang dipilih dan gerak kerja dilakukan. Pemilihan pada 2022 saya juga menang di kedudukan 24 daripada 30 orang dan kali ini di kedudukan 21.

Ini menunjukkan ada perkembangan sangat baik. Akar umbi menerima dan menyokong kami seadanya. Memang saya seorang sahaja wanita Melayu bertanding, tetapi, tidak bermaksud bonus pada saya, sebaliknya atas sokongan ahli parti yang menilai gerak kerja setiap pemimpin.

DAP SIBUK URUSAN MELAYU, ISLAM
Ramai cakap pemimpin bukan Melayu DAP suka campur tangan urusan Melayu dan Islam. Di mana YB setiap kali isu itu timbul? Apakah YB mempertahankan Melayu dan Islam atau diam sahaja?
Saya rasa kita perlu ambil pendekatan terbaik dengan berbincang secara halus antara kedua-dua pihak untuk sebarang isu berbangkit.

Kita semua perlu main peranan menerangkan kepada masyarakat, ahli parti dan sebagainya. Kita perlu cari pendekatan yang terbaik supaya pihak sebelah sana tidak memainkan sentimen kerana isu kaum dan agama amat sensitif dan ia mudah dipermain dan diputar belit.

Haluan YB berbeza, apa yang mendorong YB sertai DAP ketika orang Melayu dan Islam lain berjuang dengan ‘ketuanan Melayunya’?
DAP sama sahaja dengan parti politik lain, namun paling penting adalah prinsip parti dan sebab inilah saya pilih DAP kerana sesuai dengan pendirian saya.

Mungkin kerana DAP dibayangi majoriti kaum Cina. Orang melihat tidak ramai Melayu dalam DAP sehingga mereka merasakan sensitif. Tetapi, saya memilih haluan berbeza.

Pun begitu, pandangan buruk orang terhadap DAP perlu diubah kerana yang kita mahu lihat hanyalah gerak kerja parti dan pastikan bekerja demi rakyat.

PENGKHIANAT MELAYU
Ada pula cakap YB pengkhianat bangsa Melayu?
Ya, ramai sahaja cakap macam ini. ‘Pengkhianat’ lah, ‘komunis’ lah dan banyak lagi. Tetapi, apakah ini melemahkan semangat saya? Tidak.

Ketika awal penyertaan saya dalam politik dahulu, memang rasa sakit hati dan geram. Tetapi di akhirnya, jika saya terus melayan maka, saya tidak akan ke mana-mana.

Jadi, baik saya tunjukkan dengan perkara positif iaitu gerak kerja di kawasan. Benar kita tidak mampu halang sesiapa memberi komen dalam media sosial, namun, selagi ia tidak menyentuh saya secara fizikal, saya tidak ambil serius.

Apakah kita perlukan lebih ramai lagi orang Melayu masuk DAP?
Semestinya! Orang selalu cakap DAP parti Cina. Oleh itu, orang Melayu masuklah parti untuk ramaikan lagi Melayu. Tetapi, mereka sendiri yang was-was dan takut. Tidak kenal, maka tidak cinta.

Kebanyakan mereka di luar sana yang memberi persepsi negatif atau tidak sihat ini kerana mereka tidak kenal pun. Hanya baca kenyataan menghasut menyebabkan pandangan mereka kabur.

Bagaimana cara tetap semula pemikiran masyarakat supaya DAP ini bukan ancaman kepada orang Melayu dan Islam?
Hanya dengan memberi pemahaman kepada mereka dapat membantu kami menetapkan semula pemikiran mereka dan buktikan cara kerja kami.

DAP baharu meraikan ulang tahun ke-59, tetapi, hampir enam dekad berlalu, persepsi negatif terhadap kami masih tertanam. Tetapi, itulah, sesetengah orang, kita (DAP) buat apa sekalipun, kalau benci, tetap benci. Sayang, dia akan sayang.

Apa yang dimiliki DAP tetapi tidak parti politik lain?
Disiplin parti.
BANGGA JADI AHLI DAP
Kalau diukur tahap kebanggaan YB sebagai pemimpin DAP antara satu hingga 10, di mana skala itu?
Sudah pastilah 10. Saya bersama DAP lebih 10 tahun dan alhamdulillah, sejak awal dan beberapa bulan selepas mengisi borang keahlian parti, DAP beri saya peranan amat besar bermula ahli biasa, menjadi ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sekarang ahli Parlimen.

Saya amat puas hati dengan ruang dan peluang ini kerana parti percaya bakat kepemimpinan saya.

PEMERKASAAN WANITA
Sebagai Naib Ketua Wanita DAP, bagaimana YB memperkasa peranan wanita dan Melayu dalam kepemimpinan DAP?
Peranan ini tidak terletak di bahu saya seorang. Tetapi, Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching banyak merangka program kepimpinan ‘HerLead’ yang merupakan Program Pendidikan Kepimpinan Politik menjadi platform untuk parti itu memilih calon wanita bagi Pilihan Raya akan datang selain permulaan mencungkil bakat dalaman, melatih lebih ramai calon muda terutama wanita.

Teo Nie Ching okay?
Beliau Timbalan Menteri Komunikasi dan sangat bersemangat yang mana dengan pengaruh ini bersama media, di lapangan dan pelbagai sumber yang ada, beliau dapat gunakan manfaat ini membantu parti.

Setiausaha Agung, Anthony Loke pula?
Kepemimpinannya sangat segar, baik dan inklusif yang berbeza pemimpin terdahulu. Beliau punya banyak idea bernas untuk terus memajukan DAP.

Benarkah usaha memperkasa wanita ini hanya menang sorak sahaja?
Kenapa menang sorak? Ini tidak benar, jangan buat cerita. DAP sentiasa buka ruang dan peluang untuk golongan wanita. Sebab lihat di Parlimen, ahli Parlimen wanita DAP yang paling ramai, wakil-wakil rakyat, malah ahli Majlis dan timbalan yang dipertua DUN pun. Kami ramai pemimpin pelapis wanita dan jika diberi tempat, mereka sentiasa bersedia.

REZEKI
Proses YB naik hingga ke tahap ini terlalu cepat dan saya yakin tidak ramai mendapat peluang sama akibat birokrasi dan senioriti. Tidak begitu?
Tidak juga. Dalam perjalanan politik saya bermula ahli biasa, ahli Majlis, ADUN dan ahli Parlimen mengambil masa 11 tahun. Perjalanan setiap individu berbeza, tetapi ruang, peluang dan kepercayaan yang diberi parti sama. Ramai pemimpin wanita lain bermula dengan proses sama macam saya.

Proses YB lalui hingga tahap ini tidaklah sesukar mana bukan?
Orang mungkin melihatnya begini, tetapi, saya juga ada cabaran terpaksa lalui antaranya membuktikan kemampuan diri saya dalam memimpin rakyat. Alhamdulillah, pada awal saya menjadi ahli Majlis, ramai tidak percaya yang saya boleh berkhidmat dengan baik walaupun tiada pengalaman. Tetapi, apabila saya terus belajar dan menjadikan kesilapan sebagai pengajaran, kepercayaan itu diberi secara perlahan-lahan.

CHAUVINIS
Ramai cakap DAP sengaja letak dua tiga wakil Melayu mencairkan kecinaan atau chauvinis DAP. YB tidak rasa begitu?
Saya tidak setuju, sebab kalaulah pemimpin di peringkat akar umbi tidak kenal dan sokong, mereka tidak akan berikan undi begitu sahaja. Ini bukan sekadar ‘pasu bunga’ dan sekadar memenuhi kuota, tetapi, merit dan keupayaan yang kami ada dan ia sudah terbukti. Sekalipun seseorang dipeluang walau sebesar mana, jika malas, tidak berjumpa rakyat, tidak buat kerja, tidak akan ada ruang untuk saya berada di tahap ini.

‘MALAYSIAN MALAYSIA’
YB percaya dengan konsep Malaysian Malaysia?
Ya, ia merangkumi pelbagai aspek. Saya percaya setiap rakyat punya hak. Kita perlu berjuang memastikan tiada individu dan kaum yang tertinggal.

Walaupun ada yang menolak konsep ini?
Mungkin kerana kurang pemahaman dan memainkan sentimen tidak adil jika hak rakyat Malaysia semua sama rata, maka, hak dan keistimewaan orang Melayu akan hilang. Ini pandangan yang salah kerana setiap yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dihormati.

CEC: TERESA KOK KALAH
Pendapat tentang kekalahan Teresa Kok kalah dalam CEC baru-baru ini
Akar umbi sudah pun buat keputusan dan inilah hasil yang harus diterima. Kita tidak bolehlah cakap lebih-lebih, sebab akar umbi yang menilai dengan terbaik untuk beri kemenangan atau kekalahan kepada sesiapa pun.

Apa hobi YB?
Saya suka mendaki dan berbasikal. Pergi konsert juga. Kadang-kadang, kita perlukan hiburan diri sendiri juga selagi berkesempatan. Kita kan orang muda?

Visi dan misi YB?
Saya teruskan dengan gerak kerja saya sebagai wakil rakyat, lagipun, dari dahulu saya bergiat aktif dalam dunia aktivis. Saya juga belajar dan bekerja dalam bidang kejururawatan, merawat dan menjaga orang sakit dan saya gunakan ilmu ini dalam politik dengan menjaga kebajikan rakyat berfokus kepada pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

JURURAWAT
Berapa lama YB bekerja sebagai jururawat?
Tidak lama pun. Saya bekerja sebagai jururawat di rumah persendirian dengan syarikat swasta. Saya tidak bekerja di hospital. Selepas tamat pengajian, terus aktif dalam politik. Semasa menjadi jururawat, pada masa sama aktif sebagai aktivis, turun ke jalanan dan buat program kemasyarakatan.

Apa cabaran bekerja ketika itu?
Merawat orang sakit bukan mudah kerana banyak kerenahnya. Ada pelbagai ragam, permintaan dan keperluan sama seperti dunia politik.

Kita perlu jaga dengan baik supaya sakit segera sembuh. Pun begitu, saya pernah menjalani latihan industri di hospital-hospital daerah dan faham komitmen dan tugas kerja jururawat. Sebab itu, saya selalu kaitkan kerja-kerja jururawat ini dengan politik kerana kedua-duanya sangat dekat. Apabila berlaku isu kekurangan jururawat, saya faham situasi ini.

TIPS
Ada tips berdepan kecaman dan fitnah?
Saya abaikan sahaja jika ada perkara buang masa. Jika ada perkara yang perlu dibalas semula, saya akan balas dengan memberi penjelasan. Namun, selebihnya, saya fokus dengan kerja saya sahaja.

UMNO dan sayap Wanita memang sudah jadi sahabat sejati?
Saya rasa tiada isu pun kerana kami semua dalam Kerajaan Perpaduan, saling hormat-menghormati dan berprogram bersama-sama.

MASIH MELAYU, ISLAM
Apa pesanan kepada mereka yang sering kecam YB?
Hormatilah pendirian saya bersama DAP dan kalau mereka asyik nilai saya sudah melupakan kaum sendiri, hakikatnya, saya masih Islam, memperjuang isu libatkan Melayu. Tetapi, tidak semestinya saya perlu menunjuk-nunjuk apa yang sedang saya lakukan.

Saya harap mereka faham dan jaga adab dalam setiap tindakan kerana dunia politik ini dinamik, dengan siapa pun boleh bermusuh dan bersahabat. Paling penting, bersikap profesional. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN