Bantu golongan miskin bukan beban kepada negara

Bantu golongan miskin bukan beban kepada negara

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Masjid Warisan di Jalan Davis hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Membantu golongan miskin tidak seharusnya dianggap beban kepada negara, sebaliknya usaha itu perlu menjadi keutamaan dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan negara yang memberi tumpuan kepada kemajuan teknologi moden, kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi tidak seharusnya menyebabkan golongan miskin serta terpinggir dilupakan.

Menurutnya, usaha membela golongan berkenaan memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau tidak kita bicara soal pembangunan AI dan teknologi moden, digitalisasi, peralihan teknologi, tetapi kita lupa bahawa masyarakat itu memerlukan, ada kelompok masyarakat terpinggir dan miskin yang memerlukan kerjasama dan bantuan.

“Tidak pernah berlaku negara itu runtuh kerana pimpinan dan negara itu menolong orang miskin,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di Jalan Davis di sini hari ini.

Sebaliknya, Anwar berkata, keruntuhan sesebuah negara boleh berpunca daripada ketamakan kuasa, kerakusan, rasuah dan salah guna amanah yang berleluasa.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab membela golongan miskin perlu merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang kaum.

Katanya, masyarakat perlu mengamalkan sikap saling menghormati dan tidak menjadikan perbezaan warna kulit, pegangan agama serta budaya sebagai alasan untuk mencela atau menghina pihak lain.

“Bagaimana mungkin kita jadi contoh yang baik kalau yang kita gunakan segala kebebasan sekarang mencela, menghina kerana warna kulit, kerana faham agama, kerana beza budaya.

“Kita perlu bantu semua, miskin Islam, Kristian, Hindu dan Buddha,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangunan masjid tidak seharusnya terhad kepada penyediaan prasarana untuk beribadah, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada usaha membina ekosistem masyarakat yang berteraskan keimanan dan tanggungjawab sosial.

Menurutnya, institusi zakat merupakan antara tonggak penting dalam sistem ekonomi Islam yang perlu terus diperkasakan bagi memastikan nasib golongan memerlukan terbela.

Beliau berkata, hubungan antara ibadat solat dan zakat yang sering ditekankan dalam Islam menunjukkan tanggungjawab umat bukan sekadar menyempurnakan tuntutan ibadah, malah turut melibatkan pembelaan terhadap masyarakat.

“Pembangunan masjid bukan sekadar membina infrastruktur, sebaliknya perlu menjadi paksi dalam membangunkan ekosistem masyarakat yang berteraskan keimanan, keikhlasan dan tanggungjawab bersama.

“Islam itu tegak dengan satu sistem. Peribadinya harus beriman, tetapi masyarakatnya itu harus berjemaah di masjid dan menghidupkan institusi zakat.

“Institusi zakat itu satu institusi yang dibina sebagai tonggak yang penting dalam sistem ekonomi Islam,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat, badan perniagaan dan golongan usahawan turut memberikan sokongan dalam usaha membangunkan serta mengimarahkan masjid.

Ujarnya, tanggungjawab mengimarahkan masjid bukan hanya terletak kepada pihak pengurusan, sebaliknya memerlukan penglibatan dan dukungan masyarakat secara bersama.

Setakat semalam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan sebanyak RM1.08 bilion dana zakat menerusi 38 skim bantuan.

Agihan itu meliputi pelbagai kluster bantuan selain bantuan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan milik MAIWP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini