KUALA LUMPUR: Masjid Warisan di Jalan Davis dengan kos RM4.1 juta bakal menjadi lambang kemegahan bersama selain mengangkat warisan Melayu-Islam sebagai sebahagian identiti negara dalam arus pembangunan moden ibu negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan masjid berkenaan perlu menggabungkan warisan Islam, budaya Melayu dan identiti Malaysia dengan penggunaan teknologi moden serta seni bina yang serasi dengan persekitarannya.
Menurutnya, kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan baharu dan penggunaan teknologi canggih, sebaliknya perlu disertai pemeliharaan warisan serta pengisian budaya.
Katanya, Malaysia perlu memastikan pembangunan moden tidak menyebabkan negara kehilangan identiti dan akar budayanya.
“Masjid ini perlu mempunyai pengisian yang mampu mencerminkan keindahan warisan Islam dan Melayu, selain menjadi kebanggaan masyarakat setempat.
“Masjid ini diasaskan kerana ketakwaan kita,bukan kerana kemegahan tetapi kerana dorongan menjadikan ini sebagai simbol ketakwaan umat.
“Kita bawa legasi Islam, Melayu dan Malaysia dengan teknologi moden,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan Jalan Davis di sini hari ini.
Anwar turut menekankan kepentingan seni bina yang mengambil kira persekitaran serta elemen ekologi dan kehijauan supaya pembangunan itu tidak terpisah daripada identiti kawasan sekitarnya.
Beliau mencadangkan supaya kawasan masjid berkenaan turut mempertimbangkan pembinaan kawasan takungan air yang boleh dijadikan tasik indah, mengambil kira keadaan Kuala Lumpur yang turut berdepan risiko banjir.
“Kedudukan masjid yang dikelilingi bangunan tinggi di kawasan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX).
“Jadi kalau boleh saya mahu reka bentuknya tidak kelihatan terlalu rendah berbanding pembangunan sekeliling,” katanya.
Masjid Warisan Jalan Davis dibangunkan di atas tapak seluas 4.6 ekar bersebelahan kawasan TRX dengan konsep Masjid Dalam Taman dan mampu menampung sehingga 4,500 jemaah pada satu-satu masa.
Sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awalan projek itu di bawah Rolling Plan 2 (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan peruntukan permulaan RM500,000 bagi tahun 2027.
Projek itu turut dirancang sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, aktiviti keagamaan dan pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat serta masyarakat sekitar Bukit Bintang dan TRX.
Masjid berkenaan merupakan masjid warisan pertama di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – UTUSAN











