PETALING JAYA: Lima lagi individu termasuk seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, 17 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berkaitan kes berkenaan meningkat kepada 18 orang.
Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan hasil risikan dan siasatan berterusan susulan penahanan 13 individu sebelum ini yang terdiri daripada enam pegawai dan anggota TUDM serta tujuh orang awam.
Menurutnya, lima tangkapan terbaharu itu dilakukan semalam bagi membantu siasatan mengenal pasti dalang utama di sebalik kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
“Pada kira-kira pukul 6.40 petang, seorang lelaki pegawai TUDM berusia 29 tahun di perkarangan pejabat Cawangan Penyiasatan Jenayah Zon Tengah, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
“Suspek bertugas di TUDM Tawau, Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, kira-kira pukul 10.20 malam pada hari sama, pihaknya turut melancarkan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang yang membawa kepada penahanan empat lagi lelaki.
Mereka terdiri daripada tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 28 tahun dan seorang lelaki warga China berusia 30 tahun.
“Semakan mendapati tiga lelaki tempatan berkenaan masing-masing mempunyai dua, satu dan dua rekod jenayah lampau manakala seorang daripada mereka merupakan bekas anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Tentera Udara.
“Siasatan dan risikan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian sindiket berkenaan,” jelasnya.
Mengulas perkembangan kes, beliau berkata, daripada keseluruhan 18 individu yang ditahan lapan orang telah dituduh di mahkamah di Kuala Lumpur dan Selangor pada 27 November mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Lima individu lagi masih dalam tahanan reman,manakala lima merupakan tangkapan terbaharu,”katanya. – UTUSAN











