Polis percaya lelaki Malaysia ditahan di Singapura, diupah jadi keldai dadah 

Polis percaya lelaki Malaysia ditahan di Singapura, diupah jadi keldai dadah 

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis percaya seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun yang ditahan  pihak berkuasa Singapura kerana membawa lebih dua kilogram (kg) dadah termasuk heroin dan methamphetamine dalam motosikalnya di Pusat Pemeriksaan Tuas, Rabu lalu, diupah sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tiada pekerjaan tetap.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai dibayar untuk membawa dadah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki itu juga didapati positif ujian air kencing bagi amphetamine dan kanabis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pihak berkuasa Singapura merampas kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai lebih RM730,000 (S$222,000).

Dalam satu hantaran di Facebook, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, pegawainya mengarahkan sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Menurut ICA, pemeriksaan itu menemukan lima bungkusan disyaki mengandungi dadah di dalam sebuah beg yang disembunyikan di bawah baju hujan dalam kotak simpanan motosikal berkenaan.

Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura kemudian dimaklumkan mengenai penemuan itu sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap lelaki terbabit dan motosikalnya.

Susulan pemeriksaan itu, pihak berkuasa merampas kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine.

Menurut ICA, jumlah dadah yang dirampas itu berpotensi menampung keperluan kira-kira 1,010 penagih selama seminggu.

Lelaki berkenaan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Mengikut Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura 1973, individu yang disabitkan kesalahan mengimport atau mengeksport lebih 15 gram diamorphine, iaitu heroin tulen, boleh dikenakan hukuman mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini