PUTRAJAYA: Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani susulan pengesanan transaksi mencurigakan disyaki menyalahgunakan subsidi.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan ini diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad masing-masing telah digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi.
Katanya, kesemua pengadu telah membuat laporan polis dan susulan aduan tersebut, MOF telah menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan.
“Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan.
“Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000,” katanya hari ini.
Pada masa sama, MOF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak tersebut, dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
Selain itu, katanya, seramai sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka, daripada menggunakan kemudahan subsidi Budi Madani sementara tindakan susulan dilaksanakan.
“MOF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan, dan kini sedang meneliti rekod transaksi mereka.
“Sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Menurut MOF, Budi Madani telah dirangka untuk memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia, mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.
Jelasnya, subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi.
“Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api.
“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan Budi Madani,” katanya. – UTUSAN











