PETALING JAYA: Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2026 menyasarkan penyertaan 2,000 peserta pada 5 Disember ini bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu akan berlangsung di Padang Kawad, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dengan menampilkan konsep larian malam sejauh lima kilometer.
Katanya, penganjuran LKM bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk perpaduan, malah membantu yayasan meneruskan bantuan kebajikan serta pendidikan kepada anak-anak di bawah jagaannya.
“YKM menyeru orang ramai khususnya mahasiswa, golongan belia, keluarga dan komuniti peminat sukan larian agar merebut peluang menyertai program ini lebih-lebih lagi ketika tawaran pendaftaran awal masih dibuka.
“Setiap penyertaan bukan sahaja memberikan peluang untuk beriadah dan berhibur bersama keluarga serta rakan-rakan tetapi turut membawa makna besar kepada anak-anak di bawah jagaan YKM yang memerlukan sokongan berterusan untuk membina masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, LKM 2026 membawakan tema ‘Luminous Run’ dengan slogan ‘Satu Langkah, Satu Hati’.
Pemilihan UiTM Shah Alam sebagai lokasi penganjuran bertujuan mendekatkan yayasan dengan mahasiswa dan generasi muda sekali gus menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan, kemasyarakatan serta kebajikan.
Program itu mendapat kerjasama Institut Pemimpin Muda, UiTM, MC+ dan Malika Entertainment Management, manakala bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dikekalkan sebagai duta LKM 2026.
Selain larian yang dijadualkan bermula pukul 8.30 malam, peserta turut berpeluang menikmati konsert mini, menyertai senamrobik serta memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah.
Bagi menggalakkan penyertaan, YKM menawarkan yuran ‘Super Early Bird’ sebanyak RM45 bagi peserta individu dan RM35 bagi pelajar, staf serta alumni untuk pendaftaran dari 26 Oktober hingga 4 November ini.
Yuran ‘Early Bird’ bagi pendaftaran dari 5 hingga 16 November pula ditetapkan pada RM50 bagi peserta individu dan RM40 bagi pelajar, staf serta alumni.
Bagi pendaftaran dari 17 hingga 28 November, yuran biasa ialah RM55 bagi peserta individu dan RM50 bagi pelajar, staf serta alumni.
Kadar istimewa kepada pelajar, staf dan alumni itu bertujuan menggalakkan lebih ramai warga kampus menyertai aktiviti kebajikan anjuran YKM.
Sementara itu, YKM akan menyalurkan bantuan kepada 10 penerima berbangsa India di seluruh negara sempena sambutan Deepavali pada 8 November ini.
Bantuan berkenaan akan dikreditkan ke akaun bank penerima masing-masing mulai 30 Oktober ini bagi meringankan beban mereka serta membantu meraikan perayaan bersama keluarga. – UTUSAN








