3,000 peserta dijangka sertai LKM 2025, bantu anak yatim

3,000 peserta dijangka sertai LKM 2025, bantu anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka mengambil bahagian dalam Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang bakal berlangsung pada 15 November ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur. 

Acara edisi kedua bertemakan ‘Berlari Sambil Menyumbang’ itu bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi juga sebuah inisiatif kebajikan untuk mengumpul dana bagi membantu kira-kira 1,000 anak yatim yang kehilangan ibu, bapa akibat pandemik Covid-19.

Antara kategori yang ditawarkan termasuk Road Race 10km, Fun Run 5km dan Family Run 3km dengan harga early bird dibuka sehingga 31 Ogos ini manakala pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi LKM.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap sumbangan melalui yuran penyertaan tersebut digunakan bagi memberi bantuan bulanan kepada anak-anak itu untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

Katanya, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada anak-anak tersebut sehingga mereka mencecah dewasa.

“YKM menyalurkan sumbangan sebanyak RM200 kepada anak-anak berusia 16 tahun ke bawah setiap bulan, manakala RM250 untuk pelajar berusia 16 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi melalui Bantuan Kasih.

“Malah, setiap tahun mereka turut menerima dua bantuan one-off iaitu Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Bantuan Perayaan, masing-masing sebanyak RM300 seorang,” katanya ketika meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok, Ahad lalu.

Ismail berkata, pelaksanaan LKM bertujuan menyemarakkan semangat prihatin serta menggalakkan gaya hidup sihat selari dengan agenda Malaysia Sihat dan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan kebersamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN