JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) merekodkan lebih 3,000 hektar kawasan tanah dan hutan di tiga wilayah Kalimantan, Indonesia terjejas akibat kebakaran, dengan api masih belum berjaya dipadamkan.
Anggaran keluasan kawasan yang masih dalam proses pemadaman di Kalimantan ialah kira-kira 3,392 hektar.
Kawasan terbesar melibatkan Kalimantan Tengah seluas kira-kira 2,458 hektar, Kalimantan Barat (884 hektar) dan Kalimantan Selatan (52 hektar).
“Pelbagai strategi menangani kebakaran terus diusahakan kerajaan pusat dan wilayah dengan bantuan sukarelawan, antaranya operasi pengubahsuaian cuaca (OMC) menggunakan ais kering,” kata Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton SP Panjaitan, dalam kenyataan rasmi pada Isnin.
Sementara itu, di Pulau Sumatera, BNPB merekodkan 990 hektar kawasan tanah terjejas akibat kebakaran di tiga wilayah.
Daripada jumlah itu, kira-kira 889 hektar terletak di Sumatera Selatan, 89 hektar di Jambi dan 12 hektar di kawasan Taman Nasional Way Kambas (TNWK), Lampung.
Tiada operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah dikesan di wilayah Riau.
Operasi pemadaman dilakukan melalui laluan darat dan udara. Bagi operasi darat, anggota pemadam kebakaran ditempatkan di bawah Satuan Tugas Darat yang diselaraskan oleh pos komando wilayah.
Sementara itu, di Pulau Jawa, kebakaran tanah juga masih berlaku, khususnya di kawasan Arjuno-Welirang, Jawa Timur.
Negara gergasi Asia Tenggara itu sejak beberapa bulan lalu bergelut untuk mengawal kebakaran yang menurut pemantau penyahhutanan Nusantara Atlas telah memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September. – AGENSI











