JASIN: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai lebih RM6.8 juta selepas menahan seorang jurulatih renang berusia 27 tahun dalam dua serbuan di Melaka dan Johor, semalam dan hari ini.
Dalam operasi tersebut, polis merampas dadah disyaki jenis MDMA berat keseluruhan 102.008 kilogram serta beberapa jenis dadah lain, termasuk ketamin, pil Erimin 5 dan pil ekstasi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam di kawasan Tol Lipat Kajang, di sini, oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jasin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Toyota Vios yang digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki ketamin seberat 3.70 gram dan MDMA seberat 27.50 kilogram.
“Hasil siasatan awal serta maklumat yang diperoleh daripada suspek membawa kepada operasi susulan di Johor dengan kerjasama pasukan siasatan jenayah narkotik negeri itu.
“Operasi berkenaan berjaya mengesan sumber bekalan serta lokasi penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin di sini hari ini.
Lee berkata, serbuan susulan dilakukan kira-kira pukul 4.50 pagi tadi di sebuah unit kediaman di Crescent Bay Suites, Johor Bahru menemukan pelbagai jenis dadah serta peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan penyimpanan bahan terlarang berkenaan.
Menurutnya, antara rampasan ialah MDMA seberat 74.508 kilogram, ketamin dalam bentuk cecair, kartrij dan bungkusan seberat 29 gram, pil Erimin 5 seberat 21.60 gram serta pil ekstasi seberat 32.2 gram.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan MDMA yang dirampas dalam kedua-dua serbuan ialah 102.008 kilogram, manakala nilai keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan RM6,808,066.
“Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai jurulatih renang dan disyaki terlibat dalam aktiviti pengambilan, pembungkusan serta pengendalian bekalan dadah. Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif ketamin,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang disyaki digunakan ialah menjadikan premis kediaman sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum bekalan dibawa keluar untuk tujuan pengedaran.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, destinasi pengedaran serta rangkaian individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu, termasuk kemungkinan penglibatan rangkaian merentasi negeri.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.
“Siasatan berhubung penggunaan dadah turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya.
Menurutnya, polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek yang sudah berkahwin itu daripada Mahkamah Majistret Jasin selama seminggu bermula hari ini sehingga 21 Oktober. – UTUSAN











