Argentina sekat Bank Pusat cetak wang

Argentina sekat Bank Pusat cetak wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Parlimen Argentina meluluskan rang undang-undang yang mengehadkan kuasa Bank Pusat mencetak wang bagi menampung perbelanjaan kerajaan, selaras dengan agenda reformasi ekonomi Presiden Javier Milei.

Dewan Perwakilan Argentina pada Khamis memberikan kelulusan akhir kepada rang undang-undang itu yang menetapkan tugas utama Bank Pusat adalah mengekalkan kestabilan nilai mata wang negara berkenaan.

Sebelum ini, Bank Pusat di bawah pentadbiran terdahulu mencetak wang tambahan bagi menampung perbelanjaan kerajaan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan inflasi yang pernah melebihi 200 peratus pada 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

Milei, seorang ahli ekonomi berfahaman libertarian, memenangi pilihan raya pada tahun sama dengan berjanji untuk membendung inflasi yang melambung tinggi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Sejak mengambil alih kepimpinan, kadar inflasi Argentina menunjukkan penurunan, namun kadar kemiskinan meningkat dengan ketara.

Ahli ekonomi turut menjangkakan negara itu mungkin sedang menuju ke arah kemelesetan susulan aktiviti ekonomi yang semakin merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pejabat Milei menyambut baik kelulusan rang undang-undang berkaitan Bank Pusat itu di Senat menerusi satu kenyataan rasmi presiden.

“Ini menandakan berakhirnya hampir dua dekad campur tangan politik terhadap Bank Pusat,” menurut kenyataan itu.

Bank Pusat yang ditubuhkan pada 1935 itu sebelum ini melalui tempoh 91 tahun penjarahan, pengambilalihan, kekebalan daripada tindakan undang-undang dan kemerosotan institusi, tambah kenyataan berkenaan.

Rang undang-undang itu diluluskan Dewan Perwakilan dengan 141 undi menyokong, tiada undi menentang dan 99 ahli berkecuali.

Senat sebelum ini meluluskan rang undang-undang berkenaan, namun menggugurkan satu peruntukan yang diperjuangkan Milei bagi mewajibkan sokongan dua pertiga ahli di kedua-dua dewan Parlimen untuk memecat gabenor Bank Pusat.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini