PKR Sabah ‘besar kepala?’ Saya tidak fikir begitu - Utusan Malaysia

PKR Sabah ‘besar kepala?’ Saya tidak fikir begitu

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : FADLI (MINGGUAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TINGGI sangatkah standard PKR Sabah sehingga mempertikai keputusan pemilihan rakan parti komponen sebagai Pengerusi dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah? Memanglah sebelum ini gabungan politik itu asalnya dikepalai PKR. Persoalannya, apakah PKR Sabah harus menurunkan egonya dan memberi jawatan itu kepada parti tempatan?

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, DATUK MUSTAPHA SAKMUD mengulas pelbagai soalan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bersama juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL dan jurukamera, FAISOL MUSTAFA mengenai isu perebutan jawatan itu walau pemilihan sudah selesai yang memihak kepada Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Sebelum menjawab segala persoalan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu juga berkongsi dahulu fokus utama kementerian dan dasar pendidikan percuma.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa fokus KPT bagi memacu pendidikan negara?
MUSTAPHA: Kementerian berhasrat memantapkan penyelidikan dan inovasi sekali gus mengangkat negara sebagai hab pendidikan global. Maka, KPT menggariskan tujuh fokus utama hala tuju pendidikan pada tahun ini Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035.

Lima daripadanya adalah fokus pada tahun lalu iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi serta Governan dan Kepemimpinan. Kementerian menambah dua fokus baharu iaitu Kemampanan Kewangan IPT dan Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.

AGENDA TRANSFORMASI
Sebenarnya, ada 10 agenda transformasi KPT rangka bagi memperkasa pendidikan tinggi negara antaranya kajian semula sistem kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, penambahbaikan kebebasan bersuara di universiti, kajian terhadap beberapa akta berkaitan pendidikan tinggi seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan pindaan Akta 550 melibatkan politeknik dan kolej komuniti.

Perancangan ini turut merangkumi usaha mewujudkan Unit RDICE (Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara ) di setiap IPT bagi merancakkan lagi pemindahan teknologi dan pembangunan syarikat pemula, mengkaji beban kerja ahli akademik untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.

Kemasukan pelajar baharu ke universiti memberangsangkan?
Kemasukan pelajar ke universiti pada tahun lalu memang meningkat. Ada segelintir pihak berpandangan tidak perlu lagi belajar hingga ke institusi pendidikan tinggi. Cukup dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan trend pasaran bebas gig ekonomi sahaja. Namun, selepas saya berada dalam kementerian ini, kami menggerakkan pelbagai usaha supaya masyarakat melihat kembali peranan sebenar universiti untuk melahirkan bakat-bakat terbaik negara.

Saya fikir KPT sudah berjaya, namun, tahun ini kami mahu kembangkannya lagi dan pastikan kurikulum di universiti selari dengan keperluan industri seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan semua yang berkaitan teknologi baharu. Kami akan pastikan golongan mahasiswa selepas menamatkan pengajian lahir sebagai industry-ready supaya boleh diterima bekerja dan berbakti kepada negara.

KETIDAKPADANAN PENDIDIKAN DAN PEKERJAAN
Bagaimana KPT mengimbangi ketidakpadanan pekerjaan dengan tahap pendidikan ketika universiti terus melahirkan golongan industry-ready dan sarjana?
Sebab itu saya cakap, kami akan pastikan kurikulum universiti selaras dengan keperluan industri. Maknanya, tawaran pekerjaan sesuai dengan bidang dipelajari selepas bergraduasi.

Kajian impak daripada Telekom Malaysia Berhad mendapati, 260,000 jawatan bakal dijumudkan di Malaysia. Tetapi, tidak bermakna mereka akan kehilangan pekerjaaan. Sebaliknya, ini peluang kepada para pekerja dan mahasiswa untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran supaya sesuai dengan pekerjaan baharu yang bakal wujud.

Apa rancangan KPT untuk merealisasikannya?
KPT akan memanggil dan mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri untuk melihat kurikulum dan mendapatkan komen balas mereka. Mana-mana kursus ditawarkan universiti kurang daripada 30 peratus, kami akan meminta melakukan semakan kurikulum.

Menuju pelan pendidikan tinggi baharu yang bakal lancar tidak lama lagi, kerajaan mahu supaya mahasiswa bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi, mencipta pekerjaan. Ini yang kami sedang lakukan selain menyediakan dana membantu mereka menjalankan perusahaan sendiri.

Kami berharap, dengan pengalaman yang ada selepas bergraduasi, mereka tidak hanya bergantung kepada kekosongan jawatan, tetapi membina syarikat sendiri. Dengan teknologi yang ada, rasanya lebih mudah kerana mereka tidak perlukan modal besar. Hanya kemahiran dan kepakaran seperti pencipta kandungan yang mampu menjana pendapatan sendiri.

Namun, yang penting jangan berfikir tanpa pendidikan mereka boleh melakukan perkara ini kerana pendidikanlah yang akan memudahkan urusan. Mereka dilatih mencari maklumat dan menyelesaikan masalah.

DASAR PENDIDIKAN PERCUMA
Mampukah Semenanjung dan Sabah mengikuti jejak langkah Sarawak melaksana dasar pendidikan percuma?
Saya baru sahaja berjumpa Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berbincang bagaimana negeri ini boleh melaksanakan dasar pendidikan percuma. Sebenarnya, kekuatan Sarawak kerana mempunyai rizab besar. Pendapatan dalam tempoh beberapa tahun ini bakal mencapai RM20 bilion setahun.

Hasil negeri sekarang dalam RM15.8 bilion, manakala Sabah baru mencecah hampir RM7 bilion. Jadi, ini yang memungkinkan kerajaan Sarawak membantu anak negerinya memperoleh pendidikan secara percuma. Ini hanya melalui universiti yang ada saham diusahakan oleh kerajaan negeri dan saya akui, Sarawak lebih ke hadapan.

Di negeri lain seluruh negara pula?
Kita semua maklum, di peringkat Persekutuan, negara mewarisi kewangan yang agak tenat daripada pemerintahan yang terdahulu. Cuma, sekarang ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengurangkan hutang negara, menumpukan perkara asas dan mengurangkan projek mega.

Saya harap, dengan penjimatan ini, kerajaan mengurus dahulu keperluan asas rakyat. Jika kerajaan dapat memantapkan aspek kewangan dan hasil negara, barulah kerajaan boleh memikirkan tentang pendidikan percuma seperti Sarawak.

Maksudnya Malaysia masih belum bersedia ke arah pendidikan percuma?
Jika kerajaan ada kapasiti kewangan yang baik saya fikir tiada masalah. Saya pun berfikir, bagaimana Sabah meningkatkan hasil negerinya? Jika Sabah sudah ada asas kewangan yang cukup, mungkin kerajaan boleh bantu.

PTPTN
Bolehkah kerajaan mansuh Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN)?
Isu pemansuhan PTPTN ini memang sejak dahulu lagi ketika kami menjadi pembangkang, cuma, penekanan kami bukan pemansuhan. Sebaliknya, hanya minta supaya peminjam mencapai kadar gaji tertentu, baru mula bayar. Tetapi, apabila saya masuk dalam KPT dan diminta menjaga PTPTN, kerajaan memerlukan lebih kurang RM3 bilion setahun untuk mengurus satu permohonan baharu.

Apabila saya melihat jumlah hutang PTPTN, terdapat 430,000 peminjam tidak pernah membayar hutang melibatkan RM6 bilion. Ini yang kerajaan cuba beri kefahaman kepada peminjam supaya membantu generasi akan datang yang bakal melanjutkan pengajian di universiti. Bantulah KPT dan PTPTN dengan bayar semula pinjaman pendidikan.

BOLEH RUNDING
Sebenarnya, peminjam boleh berunding dengan PTPTN dan buat bayaran serendah RM50 sebulan sehingga umur 60 tahun jika benar-benar tidak dapat bayar sepenuhnya atau ikut jumlah ditetapkan.

PEREBUTAN JAWATAN PENGERUSI PAKATAN HARAPAN (PH) SABAH
Bagaimana kemelut dan pertikaian jawatan Pengerusi PH Sabah dengan parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)?
Ini proses biasa yang mendewasakan kita semua mengenai demokrasi berperlembagaan. Dalam mana-mana pertubuhan pun ini bukan kali pertama berlaku, malah, parti lain lagi teruk. Apa yang berlaku hanya perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen tetapi saya tidak fikir ini memecah belahkan PH Sabah.

Dalam PKR sendiri pun, pertikaian seperti ini adalah biasa menyaksikan pertentangan antara dua kelompok yang berbeza pandangan. Namun, pada akhirnya, kami akan melihat tumpuan yang lebih utama daripada isu yang saya fikir boleh diselesaikan.

Perbezaan pandangan bagaimana?
Maksud saya bagaimana satu pihak melihat dari sudut teknikal, iaitu siapa yang menang pada hari pemilihan jawatan pengerusi PH Sabah. Satu lagi sudut adalah sejarah dan dasar penubuhan PH Sabah.

Saya terlibat secara langsung dalam penubuhan PH Sabah sebagai setiausaha pertama. Kami melalui proses untuk meminta supaya rakyat Sabah diterajui PKR, manakala Sarawak dari DAP. Prosesnya sudah begitu.

Namun, kami sudah melalui proses pemilihan, tetapi, mendengar juga pandangan berbeza kerana kita kena melihat pada persepsi rakyat tentang bagaimana PH terutama di Sabah diterima oleh masyarakat. Di dalam Perlembagaan PH pun, apabila berlaku pertikaian selepas keputusan dibuat melalui proses sedia ada, maka, perkara ini akan dibawa ke Majlis Presiden PH.

Bila Majlis Presiden PH buat keputusan?
Kami sudah berbincang pada minggu lalu di peringkat pengerusi parti dan bersepakat selesaikannya. Namun, saya tidak boleh perincikan. Untuk masa ini, kami dalam tempoh bertenang, jalani program seperti biasa mengikut parti politik masing-masing sehinggalah keputusan daripada Majlis Presiden tidak lama lagi.

Saya minta kepada semua ahli parti masing-masing supaya bertenang, jangan gopoh, bersikap rasional kerana kita akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. Ini lebih utama dalam memantapkan jentera parti kerana tiada guna jika asyik berbalah di media massa dan media sosial.

Tunggulah keputusannya dan kami akur dengan apa jua keputusan dibuat Majlis Presiden, sama ada jawatan Pengerusi PH Sabah disandang Ewon kekal atau sebaliknya.

Bukankah proses undi cara terbaik untuk memuktamad segala pertikaian? Adakah PKR Sabah menafikan hak pengundi?
Sepatutnya begitu (undi), tetapi, kita tidak boleh halang yang lain daripada bersuara bukan? Bahkan selepas pemilihan ketika itu kami mengadakan sidang media. Namun, bagaimana pula apabila ahli parti bersuara ketika kami ada 25 cabang dan dalam setiap Parlimen di seluruh negara?

Kalaulah semua orang bersetuju dengan apa yang diputuskan ketika itu, kami (PKR Sabah) tiada masalah. Namun, sekarang timbul isu disuarakan akar umbi, jadi, kami di peringkat pimpinan tertinggi mesti terima. Kami tidak boleh halang mereka.

STANDARD LEBIH TINGGI
Adakah PKR Sabah menganggap standard parti lebih tertinggi berbanding parti komponen lain dalam PH Sabah – atau PKR ini ‘besar kepala’?
Saya tidak fikir begitu.

PARTI NASIONAL DAN LOKAL
Apakah kerana PKR parti nasional, manakala UPKO hanya parti tempatan dan tidak layak mempengerusikan gabungan politik yang besar?
Kami ada kekuatan dan keunikan masing-masing. UPKO, DAP Sabah dan Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah juga begitu. Paling penting bagaimana supaya PKR Sabah walau apa pun keadaan berlaku, namun tetap bergabung dan bekerjasama. Saya juga tidak mahu timbulkan isu politik kami lebih besar. Paling penting adalah kerjasama antara parti.

Benarkah pertikaian jawatan ini kerana Presiden PKR diterajui Anwar?
Tiada kaitan dengan beliau. Dalam konteks Sabah, kami ada autonomi dan bincang sesama sendiri.

Adakah Datuk mahu menjadi Pengerusi PH Sabah selepas Datuk Christina Liew?
Terpu­langlah. Setiap keputusan perlu melalui prosesnya. Jadi, sesiapa yang mahu menawarkan diri sebagai Pengerusi PH Sabah, kami alu-alukan. Jika rasa saya boleh mengetuainya selepas ini, kami akan fikirkannya secara bersama. Cuma, tumpuan saya sekarang memantapkan PKR Sabah dahulu. Dalam PKR ada biro politik dan kami akan bincang hal ini.

Hubungan PKR Sabah dengan UPKO okay?
Kami tiada masalah. Apa yang anda saksikan di media sosial nampak macam bergaduh, namun hakikatnya, hanya satu pandangan. Di lapangan, rundingan kerusi (untuk pilihan raya) masih berjalan dan tidak lama lagi kami akan ada program bersama.

Wujud dakwaan UPKO parti rasis dan tidak mewakili semua kaum, sekali gus tidak melayakkan parti itu menerajui PH Sabah. Bagaimana?
Saya tidak mahu komen soalan ini. Biarlah sahajalah. Kadang-kadang yang kita dengar hanya persepsi, bukan fakta.

Bukankah parti komponen lain sudah menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah?

Ini pandangan parti masing-masing. DAP dan Amanah beri pandangan dan kami pun beri pandangan. Jadi, ini yang mewujudkan pertikaian. Kami sedang mengurus perbezaan pandangan.

PENGGILIRAN JAWATAN
Datuk setuju sistem penggiliran jawatan Pengerusi PH Sabah?
Ini cadangan sahaja dan tidak semestinya diikuti. Di Sabah, kita sudah melalui sistem penggiliran ketua menteri sebelum ini dan ini pun ada yang berbeza pandangan. Ada yang cakap penggiliran akan menstabilkan suasana politik di Sabah, namun ada yang cakap tidak membantu membangunkan negeri ini.

PRN SABAH KE-17
Ada cadangan bertanding PRN Sabah?
Ada juga cadangan supaya saya bertanding di peringkat DUN, sebab kami mahu mendapatkan kerusi. Mungkin, saya antara calon yang menambah kerusi PKR Sabah di DUN. Selain itu, kami mesti tampilkan calon-calon yang boleh menang. Kalau di peringkat Parlimen, saya sedang fikir jika saya perlu ‘pulang’ ke Kota Belud atau cari kawasan bandar di Kota Kinabalu.

Persiapan menuju PRN?
Sekarang kami sedang memantapkan jentera parti. Kami akan berjuang dalam rundingan kerusi DUN dan sudah kenal pasti beberapa kawasan. Selama lebih 25 tahun PKR di Sabah, kami tahu di mana kawasan kami yang kuat dan kami sudah ada bayangannya. Cuma sekarang ini jentera tidak kuat.

MASIH TERGURIS HATI DENGAN WARISAN
Ada peluang bekerjasama semula dengan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal?
Kami sudah ada kerjasama sebelum ini dan memang pertahankannya. Tetapi, Warisan mahu bergerak sendiri dan meninggalkan kami. Jadi, kami masih terguris hati dengan apa yang berlaku.

Namun, kami hormati pandangan mereka. Bukan mudah menerima Warisan kembali dengan episod lama ini. Sekarang belum ada perbincangan untuk bekerjasama semula.

KRONOLOGI PERTIKAIAN JAWATAN PENGERUSI PAKATAN HARAPAN SABAH

1 Disember 2024
Ewon mendapat undian tertinggi dan dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah selama dua tahun menggantikan Christina pada pemilihan PH Sabah di Kota Kinabalu.

20 Disember 2024
Laporan media Ewon ditolak sebagai Pengerusi PH Sabah kerana kuota tersebut sepatutnya milik PKR Sabah.

25 Disember 2024
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, tiada kuota diberi kepada mana-mana parti dalam lantikan Pengerusi PH Sabah.

4 Januari 2025
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Sazayle Donol Abdullah berkata, tidak pernah berlaku pemilihan berkaitan jawatan Pengerusi PH Sabah dan ia adalah kuota PKR.

12 Januari 2025
PKR Sabah berpendirian jawatan Pengerusi PH Sabah wajar dipegang pemimpin partinya.

– MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN