MUKADIMAH
Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN menegaskan keputusan konsensus pelantikan Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai langkah penting untuk menggerakkan semula jentera PN yang didakwa dorman, tidak aktif sejak beberapa tahun ini.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, SADDAM YUSOF, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menyentuh isu siapa poster boy, calon Perdana Menteri yang dilihat bukan keutamaan ketika ini sebaliknya memastikan PN kembali aktif dan tersusun menghadapi cabaran politik semasa termasuk pilihan raya negeri akan datang.
Beliau turut menekankan soal untuk sentiasa berhati-hati dan waspada dengan ‘duri dalam daging’ dan sabotaj yang mungkin menjadi sebahagian daripada perancangan musuh untuk memecah belahkan PN.
MINGGUAN MALAYSIA: Selesai lantikan Pengerusi PN baharu, apa langkah seterusnya perlu jadi keutamaan PN?
Isu Pengerusi PN tergantung agak lama hampir dekat dua bulan apabila kita terima surat daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan, kemudian kita ambil masa untuk panggil mesyuarat.
Dalam mesyuarat baru-baru ini bila semua pihak secara konsensus setuju dua perkara, pertama kita menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan tiada pihak yang bantah, keduanya kita buat pelantikan baharu dan presiden parti mencadangkan Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar, juga diterima sebulat suara.
Soal sama ada Samsuri menjadi poster boy, tidak timbul lagi buat masa ini, belum dibincang, yang penting buat masa ini kita perlu lantik (pengerusi) dan PN perlu bergerak dahulu.
Banyak lagi lantikan yang belum selesai, setiausaha agung, pengerusi negeri, mesyuarat pertama pun belum dibuat lagi. Sekarang ini maknanya lepaskan dulu hal yang atas (lantik pengerusi) kemudian baru kita bersedia untuk adakan mesyuarat, terpulang kepada pengerusi baharu.
TIDAK TIMBUL ISU RANKING JAWATAN
Adakah akan timbul situasi janggal dalam Pas apabila naib presiden yang dilantik sebagai Pengerusi PN?
Dalam parti lain rasanya begitu (janggal) tapi dalam Pas tidak ada, tidak timbul masalah. Contohnya di Terengganu, Samsuri Menteri Besar tapi bukan pesuruhjaya negeri, yang jadi orang lain.
Begitu juga di Kelantan dan Kedah.
Maksudnya dalam Pas ini, jika seseorang itu pegang jawatan paling tinggi, dia mesti dilantik untuk jawatan tinggi yang lain, isu itu tidak timbul.
Bahkan sebagai timbalan presiden, saya mencadangkan supaya Samsuri menjadi Pengerusi PN dan Presiden Pas juga setuju, maknanya bagi kita, siapa yang lebih baik untuk kita ketengahkan dalam konteks kepimpinan.
Dalam parti ada rankingnya tersendiri sebab parti ini ahli yang pilih, tapi dalam PN, kita mencadangkan dan kita perlu letakkan seorang tokoh, teknokrat yang dikenali dan sebagainya, dan Samsuri ialah satu contoh yang baik.
Adakah keadaan ini akan menarik lebih ramai golongan profesional dalam parti?
Saya yakin begitu. Ini akan menambahkan ruang. Tokoh-tokoh korporat, teknokrat yang ada dalam parti ni sebenarnya ramai. Cuma mereka tidak diberi peluang. Saya fikir, ruang ini kita harus buka supaya peluang-peluang diberi kepada tokoh-tokoh profesional dalam Pas untuk terlibat secara terus dengan kerja parti. Tetapi syaratnya dia mesti mendukung hasrat, dasar parti.
Saya tidak bimbang sangat sebab dalam Pas ini walaupun jawatankuasa Pusat hendak buat apa-apa polisi, mesti dirujuk kepada Majlis Syura yang jadi badan tertinggi, yang memutuskan sama ada polisi ini bercanggah dengan syarak atau tidak.
Adakah tanda Pas semakin berubah mengikut peredaran zaman?
Cuma babitkan penyertaan, sebab dulu orang hendak pangkah, untuk menang payah. Siapa sanggup letak jawatan? Jadi ustaz-ustaz golongan agamawan ini biasanya bekerja sendiri jadi mudah.
Beza dengan kerja kerajaan, pegawai, guru yang mana risiko bertanding pilihan raya agak payah menang dan sebagainya.
Tapi hari ini kita boleh tengok perubahan itu sudah berlaku, pertama, bentuk pendapatan rakyat sudah berubah. Dulu semua fikir mahu kerja kerajaan. Sekarang tidak, lebih terbuka kerja sendiri, jadi bebas untuk menyokong mana-mana parti, tidak takut untuk ditukar (jika kerja kerajaan).
Hari ini juga kita melihat golongan profesional yang lebih lantang, berani dan terbuka. Kerajaan pun lebih terbuka, sebab desakan, dan ini membuka lebih ramai penyertaaan golongan teknokrat dalam parti.
PN PERLU BERGERAK
Datuk Seri, dengan Pas dilihat meneraju PN, adakah itu memberi lebih kuasa kepada Pas dalam menentukan gerak kerja ataupun kerusi?
Keutamaan kita adalah PN kena bergerak. Kalau PN tidak bergerak betul, ada lantikan tapi tidak berjalan, kita lihat sudah tiga tahun.
Kalau kita biarkan situasi macam ini berterusan bahaya. Kepimpinan negeri tidak berjalan. Mesyuarat peringkat negeri, kawasan, bahagian tidak berjalan, macam mana hendak bersiap hadapi pilihan raya?
Oleh kerana itu bagi kita yang penting, jadi keutamaan, gerak kerja dahulu. Ini supaya PN boleh aktif, boleh turun, bersedia untuk pilihan raya.
Soal kelebihan bila kita pegang Pengerusi itu sebenarnya tidak ada, sebab semua konsensus. Apa-apa kita buat contoh kerusi, setiap kali pilihan raya, kita ada jawatankuasa pengagihan kerusi, yang akan menentukan.
Adakah Dr. Samsuri ketika ini menggalas tugas berat sebagai Pengerusi dengan keadaan Bersatu sendiri belum betul-betul menyelesaikan krisis mereka?
Ya, ada masalah dan sebab itu kita kata tidak boleh biar berterusan. Kita dalam Pas tidak campur tangan urusan parti lain, tapi apa pun kesan yang berlaku pada setiap parti komponen mesti akan ada kesan pada kita.
Kita harapkan isu-isu berlaku dalam PN, dalam Bersatu, dapat diselesaikan. Sebahagian itu ada yang kena pecat, kena buang, tapi ke mana hala tuju mereka ini rakan-rakan kita, dan mereka tidak menyokong PH, atau BN.
Sebagai contoh, yang menjadi ahli Parlimen, walaupun dipecat tetapi masih menyokong PN, oleh itu bagi Pas kita kalau boleh tidak hendak benda ini berlaku kerana jika sudah berlaku, kita terpaksa urus. Ini kawan-kawan semua.
Memang timbul dilemma, tapi ini perlu diuruskan dengan cara harmoni. Oleh kerana masing-masing bukan ahli Bersatu, tidak ada kena mengena lagi dengan Bersatu lagi. Cuma kena fikir plaform mereka dan hala tuju ke mana dan apa bentuk yang mereka mahukan.
SAMSURI JADI BONEKA?
Persepsi bahawa Dr. Samsuri hanya akan menjadi boneka dan mempelajari apa yang berlaku dalam UMNO ketika Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Perdana Menteri, komen Datuk Seri?
Saya rasa dalam Pas tidak akan timbul konflik, sebab dua entiti berbeza. Bila dalam konteks parti, dia balik ke parti, dia duduk dalam ranking parti. Tapi bila dia pergi ke PN, dia akan mewakili juga sebagai Pengerusi PN. Dia dengar juga (pandangan) Presiden Bersatu, Gerakan, MIPP dan sebagainya. Jadi pada waktu itu dia akan jadi pengerusi kepada parti-parti komponen. Jadi bagi kita, dua entiti berbeza.
Kita juga menghormati kedudukan Samsuri, dalam konteks mesyuarat PN, dialah pengerusi. Tidak ada konflik.
Cuma bezanya dalam UMNO dulu ada konflik apabila hendak bubarkan Parlimen ketika itu. Kita masa itu, mencadangkan supaya tidak dibubar segera tapi UMNO beri tekanan pada Ismail Sabri, suruh bubar juga. Jadi, dalam konteks ini, situasi kita tidak sama.
Adakah penonjolan golongan profesional dalam Pas termasuk dipilih menerajui PN boleh memberi implikasi kepada pengaruh dan kuasa golongan ulama dalam kepimpinan Pas?
Saya rasa tidak. Dalam Pas, bila seseorang itu diterima dalam konteks parti, dia dipilih oleh perwakilan, bahkan kalau tengok dalam senarai ahli jawatankuasa Pas Pusat itu hampir separuh bukan ulama, mungkin hanya 40 peratus ulama, yang lain itu aktivis parti, golongan teknokrat dan profesional, jadi, itu diterima oleh ahli kita. Itu keadaan sekarang di dalam Pas.
Bahkan apabila kita hendak calonkan, padahal kita boleh contohnya macam di Kelantan, Kedah ramai sahaja tokoh ulama yang boleh jadi.
Tapi apabila parti lihat, yang untuk mentadbir, kita angkat golongan profesional dan ahli kita sokong, pimpinan juga sokong bila kita calonkan Dr. Samsuri, respons sangat positif dalam kalangan masyarakat keseluruhan.
Saya lihat ini antara ruang-ruang di mana masyarakat boleh menerima tokoh-tokoh profesional daripada Pas. Samsuri juga akan membawa apa yang menjadi hasrat bagi parti dalam PN.
Selama ini pun tiada isu dan masalah mahu pun konflik antara ulama dan bukan ulama bahkan yang penting mereka mendukung hasrat dan dasar parti, itu sahaja.
PAS TERBUKA
Kalau kata ada yang sebahagian mahu sertai Pas, komen Datuk Seri?
Kita terbuka untuk terima siapa-siapa sahaja, kerana ini membabitkan ramai ahli Parlimen dan juga ADUN, kita Pas sentiasa alu-alukan.
Jika sertai Pas, bagaimana hendak harmonikan hubungan antara kem yang berpecah ini?
Kalau mereka berbaik dengan Pas, jangan lagi curiga, kerana mereka bukan ahli Bersatu.
Kalau mereka hendak mohon untuk duduk bersama menyokong kita, kita terima. Kita kalau boleh mahu mengurangkan musuh, meramaikan kawan, dan mereka ini masih setia dengan PN.
PERANCANGAN MUSUH
Mungkin ada kem yang tidak puas hati, jadi duri dalam daging serta sabotaj kepada usaha untuk pengukuhan PN?
Saya tidak curiga dalam kalangan ini cuma kita tahulah dalam politik banyak musuh sama ada secara langsung atau tidak. Bagi kita, yang berlaku ini pun mungkin sebahagian daripada perancangan musuh untuk pecah belahkan PN.
Itu berkemungkinan, tapi kita lebih berhati-hati dalam konteks menerima. Kita mengalukan sokongan tapi kita tidak hendak orang yang menyokong kita sebenarnya menimbulkan polemik dan masalah nanti.
Kalau boleh kita mahu mereka yang menyokong kita memang setia untuk melihat masa depan PN lebih cerah.
HAMZAH PERLU WUJUD PARTI
Pandangan terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang mana Pas ada hubungan baik, adakah beliau perlu bentuk parti baharu?
Kita baik dengan semua orang. Saya melihat begini, orang politik ini kena ada parti. Tidak boleh jadi bebas begitu. Dia kena ada ‘tempat’ untuk bergerak dan aktif.
Daripada segi kerangka itu (ahli Parlimen yang menyokongnya), dia mesti akan wujudkan parti. Kalau tidak, pasukannya yang ramai itu hendak bergerak dalam konteks apa.
Banyak bahagian dan cawangan Bersatu yang bubar. Maknanya kumpulan yang bersama Hamzah ini mesti ada wadah, jadi tidak mustahil untuknya tubuh satu parti. Buat masa ini belum diteliti lagi, tapi kena fikirlah perkara itu.
Contoh kerusi dimenangi atas nama PN, tapi oleh pasukan Hamzah, jadi pilihan raya akan datang siapa yang akan bertanding di kerusi itu? Bersatu ke atau ada calon lain? Kita tidak mahu lihat berlaku perpecahan.
Keduanya saya tengok politik ini dinamik, sentiasa berubah, kemungkinan juga struktur yang ada ini akan berubah pada pilihan raya akan datang, mungkin bentuknya bukan yang ada hari ini.
Mungkin kerangka lebih besar. Ramai orang sudah mula cakap tentang rumah besar, rumah bangsa, payung besar dan sebagainya. Saya lihat ini keperluan terutamanya untuk melihat bahawa orang Melayu perlu bersatu.
Apa yang diperjuangkan itu hampir tapi masing-masing dengan wadah masing-masing tapi kalau boleh penyatuan itu berlaku sama ada secara gabungan payung besar ataupun dalam konteks kerjasama persefahaman. Maknanya kita tidak bertembung sesama sendiri
Ada tempoh untuk penyatuan itu?
Perkara ini perlu diselesaikan sebelum pilihan raya. Kalau ada apa-apa sebarang kerjasama dan cabaran besar tahun ini adalah PRN Melaka.
Sejauh mana kita PN mampu menguruskan dahulu (selesai isu dan masalah) dalam tempoh sebulan dua ini, barulah kita bersedia untuk hadapi pilihan raya dan pada masa sama uruskan rakan-rakan yang dipecat ini. Ini jadi ujian berat kepada Pengerusi PN yang baharu
ISU DANA JUDI
Komen Datuk Seri mengenai dana judi diterima Pas hanyalah satu fitnah seperti didedah Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini?
Dulu kita sudah bantah. Peringkat awal waktu dia (Presiden PKR) sebut PN dapat dana judi untuk hadapi pilihan raya, kita cabar dia tunjukkan bukti mana bukti, tidak ada pun, malah tindakan minta maaf atau tarik balik kenyataan pun tiada.
Jadi, benda itu kekal sebagai satu gambaran beliau tapi orang ramai hari ini pertikai balik, orang keluarkan balik video lama untuk tanya mana bukti? Sebab pelik, bagi mereka Pas ini parti yang lantang menentang judi, daripada segi logiknya takkan ada syarikat judi mahu bagi duit.
Kita ada dasar parti yang mesti selaras dengan apa yang kita buat. Dasar Pas jelas kita menentang benda haram, tidak ikut syarak.
Dengan lebih ramai golongan profesional dan tenokrat dalam Pas, adakah mampu tawan kawasan kerusi bercampur?
Saya tengok sebahagian masyarakat ini kenal Pas dalam konteks yang umum sahaja, tidak secara dekat. Sebab, Pas tidak pernah diberi peluang untuk mentadbir kerajaan Persekutuan dan sebagainya
Saya pernah duduk sekejap sebagai menteri dari Pas dan itu mengubah sikit persepsi orang pada Pas. Orang asyik fikir boleh ke?
Dulu sebelum kita menang di Kelantan macam-macam orang kata.Takkanlah boleh perintah dengan serban? Boleh ke Tuan Guru Nik Aziz tadbir? UMNO bagi masa tiga bulan, tapi lepas tiga bulan, masuk empat bulan, UMNO kata paling lama enam bulan, lepas itu dia (UMNO) terus senyap. Maknanya, mereka sebahagian besar tidak mengenali kemampuan kita.
Jadi, lihat Pas ini kita lihat ustaz sahaja dan latar belakang bidang agama sahaja. Jangan kita perlekeh. Oleh kerana itu apabila rakyat mula mengenali.. ohh rupanya Pas ini ada tokoh macam ini, ada kepakaran. Ini mula membuka minda, membuka ruang kita dalam memenangi hati pengundi di kawasan bercampur dan ini baik untuk Pas.
SEPENGGAL PUN BOLEH RASUAH
Usul untuk hadkan tempoh penggal PM, pandangan Datuk Seri?
Kita jangan terlalu terikut sangat dengan apa yang dibuat oleh negara lain. Negara Barat yang kena hadkan tempoh atas apa alasan? Kenapa perlu hadkan? Kata untuk mengurangkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Saya kata tidak. Kita jangan anggap tempoh itu jadi masalah sebab kalau orang hendak rasuah, tidak perlu tempoh pun, sepenggal pun boleh rasuah, salah guna kuasa.Sebab dalam konsep Islam, saya tengok sejarah zaman Khulafa al-Rasyidin. Ada tempoh? Tidak ada, Saidina Umar al-Khattab, orang yang ada kemampuan, kebolehan, amanah, jujur, bagus. Sebab itu bagi saya bukan soal tempoh, tapi yang penting integriti.
Kalau tempoh menjadi masalah, bagaimana pula dengan pegawai-pegawai kerajaan yang ada, kadang ada bertahun-tahun pegang jawatan tinggi, kenapa tidak fikir itu juga bermasalah. – Mingguan Malaysia.









