PN perlu selesaikan isu dengan RoS – Ahmad Faizal

PN perlu selesaikan isu dengan RoS – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya mengambil tindakan memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubungan penggantungan semua kegiatan gabungan parti itu.

Sebaliknya, PN perlu menyelesaikan isu berkaitan termasuk permintaan penjelasan oleh RoS dalam tempoh 30 hari secara langsung dengan jabatan itu.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PN perlu memberikan penjelasan yang diminta RoS terlebih dahulu bagi menyelesaikan perkara berkenaan mengikut saluran sewajarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, tindakan memohon semakan kehakiman bukan langkah yang tepat sekiranya penjelasan yang diminta oleh RoS masih boleh dikemukakan dalam tempoh ditetapkan.

“RoS memberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan alasan berhubung siasatan tersebut. Jadi, kemukakanlah penjelasan yang diminta kerana perkara itu penting tetapi kamu mengambil tindakan memohon semakan kehakiman pula.

“Itu bukan tindakan yang sewajarnya. Selesaikan sendiri perkara itu dengan RoS. Mengapa perlu melibatkan pihak lain?.

“Jadi, masalahnya di situ. Tetapi sekarang, Bersatu pula didakwa cuba mensabotaj PN daripada menyertai pilihan raya, sedangkan pihak ber­kenaan sendiri yang menjejaskan parti mereka apabila gagal mengambil langkah sewajarnya mengikut Perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, Bersatu masih merupakan anggota PN walaupun parti itu dikatakan menjadi punca penggantungan gabungan tersebut selepas mengemukakan aduan kepada RoS berikutan kemelut dalaman dan isu tadbir urus.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keputusan dibuat berhubung status Bersatu setakat ini berikutan semua me­syuarat dan aktiviti PN digantung buat sementara waktu sehingga ada keputusan mahkamah dibuat.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menggesa Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil tindakan sewajarnya berhubung kedudukan Bersatu dalam gabungan itu susulan kenyataan Tuan Ibrahim itu.

Beliau berkata, pengakuan itu menimbulkan persoalan apabila Bersatu sebagai parti komponen didakwa tidak diberikan hak untuk menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan.

“Jelas hari ini bahawa pimpinan Pas sendiri mengakui Bersatu masih sebahagian daripada PN. Namun, hak Bersatu sebagai parti komponen, khususnya untuk menghadiri mesyuarat, tidak diberikan. Jadi, ada sesuatu yang tidak kena.

“Kami mengemukakan adu­an kepada PN bukan untuk menimbulkan masalah tetapi supaya tindakan sewajarnya diambil mengikut perlembagaan gabungan itu.

“Jika kita bertindak mengikut Perlembagaan, RoS tidak boleh mengambil tindakan terhadap kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini